Pelumba SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing itu mengalami kecederaan patah bahu kiri setelah terjatuh sewaktu sesi latihan bebas kedua pada pusingan ketiga di Kemaman, Terengganu, dua minggu lepas dan meskipun semakin pulih, doktor yang merawat Hafiz menasihatkan agar pelumba berusia 21 tahun itu tidak turun ke litar pada saingan minggu ini.
“Saya menerima rawatan segera setelah terjatuh di Kemaman dan tangan saya sudah semakin pulih. Saya sebenarnya yakin dapat beraksi di Teluk Intan namun setelah melakukan pemeriksaan, doktor yang merawat menasihatkan saya agar berehat dan tidak beraksi pada minggu ini,” jelas pelumba kelahiran Perak itu.
Tambah Hafiz, “Nasihat serupa juga saya terima dari pasukan yang menasihatkan saya untuk berehat. Kalau bercakap tentang kecewa, sudah tentu saya berasa sangat kecewa dan sedih namun saya terpaksa akur untuk kebaikan masa akan datang. Tambahan perlumbaan minggu ini berlangsung di halaman sendiri.
“Sebenarnya saya berharap dapat meraih keputusan yang baik pada minggu ini untuk menebus kegagalan pada pusingan pertama di Temerloh. Aksi pada peringkat awal musim setakat ini tidak begitu baik, saya hanya mengutip tujuh mata dan berada di tangga ke-14 keseluruhan. Selepas ini kejuaraan akan berehat panjang dan kembali bersambung Julai nanti. Saya perlu mengekalkan kecergasan dan meraih keputusan terbaik pada baki enam pusingan akan datang.”