fbpx

GOLONGAN WANITA KIAN MEKAR DI LITAR PERLUMBAAN – MCP MEMPELAWA LEBIH RAMAI WANITA DI LUAR SANA


Jika dahulu pembabitan kaum hawa dalam sukan permotoran hanya terbatas sebagai ‘penyeri’ litar, namun kini mereka mengorak langkah menunjukkan bakat di lapangan atau belakang tabir.

Mahupun jentera dua roda atau empat roda penglibatan kaum hawa semakin meningkat. Begitu juga dalam arena PETRONAS Malaysia Cub Prix, penglibatan kaum hawa di dunia permotoran terutamanya jentera dua roda semakin mengubah perspektif “sukan permotoran hanya untuk lelaki” di Malaysia.

Tahun 2009 merupakan tahun mencatat sejarah baharu apabila seorang gadis si cantik manis tapi talentnya seperti singa mengaum, Nasha Edziera Bahauddin dan tahun-tahun berikutan dah mula nampak peningkatan penglibatan kaum wanita.

Kejayaan ini disusuli seorang lagi gadis remaja, Siti Norafizah Muhamad yang lebih dikenali sebagai Fifie mencuri tumpuan, apabila mencipta sejarah baharu sukan permotoran negara dengan muncul selaku pelumba wanita pertama menjuarai Siri Super Malaysia (MSS) kategori 250cc.

Fifie mula berkecimpung dalam sukan permotoran saingan pro-am Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, CP110 bagi pasukan JN Motorev, Pasir Gudang.

Penubuhan sebuah pasukan yang juga boleh dianggap sebagai sejarah baharu dalam kejuaraan berprestij itu apabila ia dikendali sepenuhnya oleh seorang Wanita berusia 25 tahun, Tobaki Cilik Racing yang sebelum ini dikenali Tobaki Pink Racing. Mungkin ia wajar dicatatkan sebagai rekod baharu selaku WANITA TERMUDA PERTAMA yang memiliki pasukan sendiri pada kejuaraan yang sering didominasi kaum lelaki itu.

Pemiliknya ialah Nur Atikah Azwar yang lebih dikenali Ika @ Pink Helmet Rider. Walaupun kurangnya pendedahan terhadap sukan permotoran ketika zaman remaja, Ika mula menjinak dalam dunia permotoran dengan inisiatif sendiri.

Pencapaiannya tidak terhenti di sana malah penubuhan pasukan ini turut menarik bukan sahaja pelumba wanita tetapi juga rakan pasukan yang bekerja di belakang tabir.

“Bila saya menyatakan keinginan saya untuk memulakan pasukan saya sendiri pada tahun 2021 boleh katakan waktu yang agak singkat, orang menganggap saya gila sebab saya masih muda dan kurang pengalaman.

“Tetapi saya berpegang pada nasihat ‘Chief Mekanik’ saya, Dia kata ‘tiada apa yg kita tak boleh buat, melainkan kita saja yang tak nak buat’.

“Ia merupakan satu langkah yang besar dan juga berisiko tinggi. Ia juga bukan tugas mudah untuk berlumba dikalangan pasukan industri dan pasukan yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun. Bagaimanapun saya tetap tekad dan kini kami sedang mengharungi musim ketiga Malaysian Cub Prix.

“Misi utama saya sememangnya untuk mempengaruhi lebih ramai wanita di luar sana untuk menceburi sukan permotoran ini. Tiada kurangnya kita sebagai wanita untuk menyerlah dalam sukan yang didominasi lelaki.

“Sebenarnya ramai wanita di luar sana minat untuk menerokai bidang ini cuma kurang pendedahan. Saya harap penglibatan kami dan kewujudan Tobaki Cilik Racing Team mampu mempelawa lebih ramai wanita dalam dunia permotoran” katanya Ika dengan nada yang penuh semangat.

TCRT kini mempunyai seorang pelumba remaja wanita berusia 17 tahun, Nur Dini Uzma Abdullah yang bersaing dalam kategori Wira.

Pasukan itu juga terus memartabatkan golongan wanita dalam sukan permotoran di Malaysia apabila mengetengahkan mekanik wanita sebelum pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia edisi ke-29 membuka tirainya.

Lebih menarik pada musim yang penuh istimewa kali ini, seperti menafikan ‘stereotype’, munculnya seorang pelumba wanita berkaum Cina pada pusingan pembuka tirai di Litar Sepang Selatan, minggu lalu. Nama diberi Angella Wong An Qi, berusia 17 tahun, asal Negeri Sembilan. Kita mengharapkan lebih ramai wanita di luar akan memeriahkan lagi saingan kejuaraan Malaysian Cub Prix pada musim-musim akan datang.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook