fbpx

FUAD HARAP HELMI BANGKIT DI JEMPOL


Ahmad Fuad Baharuddin berharap insiden perlanggaran pada perlumbaan akhir dalam kateogri Wira di Temerloh tidak menjejaskan tumpuan pelumba pasukannya, Mohd Helmi Azman untuk tampil cemerlang pada perlumbaan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Insiden perlanggaran ketika persaingan sengit merebut gelaran juara diantara Helmi dan pendahulu keseluruhan, Mohd Shafiq Ezzariq menjadi perbualan diantara peminat Kejuaraan Cub Prix sehingga menyaksikan Helmi keciciran mata dalam persaingan untuk merebut gelaran juara keseluruhan Wira musim 2016.

mhr_8760

Namun bagi prinsipal pasukan IUGB AFB Tech Racing, Ahmad Fuad, yang juga juara tiga kali kelas perdana Kejuaraan Cub Prix, ia adalah insiden biasa dalam perlumbaan.

“Kejadian seperti itu sering terjadi dan boleh dijadikan pengajaran serta pelajaran terbaik buat Helmi untuk terus maju. Helmi perlu belajar untuk mempertahankan kedudukan dan merancang strategi dengan lebih baik sewaktu berlumba,” jelas Fuad.

Sorotan video perlumbaan lepas di Temerloh pada 25 September menyaksikan pertarungan sengit diantara kedua-dua pelumba ini dan berakhir dengan kemalangan melibatkan Helmi yang terbabas dan merempuh beg udara namun masih berupaya bangkit untuk meneruskan perlumbaan. Insiden ini turut mencetuskan perdebatan di laman sosial diantara penyokong kedua-dua pelumba dan peminat Kejuaraan Cub Prix.

dsc_0706

“Saya tidak mahu Helmi terkesan dengan insiden lepas. Saya mahu dia fokus terhadap perlumbaan di Jempol, ditambah dengan bentuk litar yang agak teknikal. Dia perlu belajar dari kesilapan untuk lebih berjaya kerana dia merupakan seorang pelumba muda yang berbakat dan telah beraksi dalam pelbagai siri perlumbaan termasuk perlumbaan menggunakan jentera Moto3 di saingan Asia Talent Cup.

“Sebagai pelumba, dia juga perlu bijak merancang strategi tanpa mengharapkan kelajuan jentera semata-mata untuk memenangi perlumbaan. Dia perlu lebih memahami bagaimana untuk menggunakan kelebihan dan kekurangan jentera di setiap sudut litar dan bila masa yang sesuai untuk menjarakkan diri atau untuk memintas. Perlumbaan di Cub Prix ini baik untuk pelumba-pelumba muda mengasah bakat perlumbaan kerana saingan yang kompetitif dan litar yang mencabar,” jelas Fuad yang memahat nama sebagai pemenang perlumbaan di Litar Jempol pada tahun 2013 sekalipun bermula dari petak terakhir.

, ,