Pusingan 9 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang hari ini menyaksikan pelumba muda, Farres Putra Md Fadhill dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, muncul sebagai pelumba terpantas keseluruhan kategori Wira KBS selepas menutup sesi kelayakan dengan catatan 54.529s.
Sesi Latihan Bebas 2 memperlihatkan kekuatan kolektif PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Farres dan Raiyan Khardanee Md Sanusi yang menempatkan dua pelumba dalam kelompok tiga terpantas. Dalam masa sama, YAMAHA ESTREMO 27 RACING juga menunjukkan prestasi mantap dengan kehadiran Nuzzul Ady Mad Sudin dan Md Al-Syafiq Md Al-Amirul Zaki.
Farres mempamerkan konsistensi sejak sesi latihan, apabila mendominasi Latihan Bebas 2 Kumpulan A sebelum mengesahkan keunggulan di pentas kelayakan. Pencapaian itu sekali gus meletakkan beliau antara pilihan utama dalam sesi Shoot Out untuk merebut petak utama dalam perlumbaan esok.
Namun, saingan sengit turut menanti daripada Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM yang berada di kedudukan kedua dengan 54.890s, serta pelumba sepasukan Farres, Raiyan, yang mengekori rapat dengan 54.980s. Nuzzul Ady Mad Sudin dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING turut melengkapkan kedudukan keempat dengan 55.028s, manakala Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM berada di tempat kelima dengan 55.112s.
Farres berkata, “Saya dan pasukan telah bekerja keras sejak sebelum Pusingan 8 demi kekal di tempat pertama. Saya rasa kami masih boleh pergi lebih laju lagi, dan saya berharap dapat menyelesaikan masalah yang timbul hari ini supaya keputusan esok lebih baik. Insya-Allah, semoga ada rezeki untuk meraih nombor satu pada perlumbaan esok.”

