FARRES TANGGUH IMPIAN JUARA AKIF

FARRES TANGGUH IMPIAN JUARA AKIF
Perlumbaan Wira KBS pada Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan berlangsung penuh debaran dengan aksi kejar-mengejar sehingga ke garisan penamat. Farres Putra Md Fadhill dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING akhirnya muncul pemenang selepas pertarungan sengit bersama dua pencabar utama, Md Akif Abdullah dan Md Al-Syafiq Md Al-Amirul Zaki.

Sebaik perlumbaan bermula, Akif dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM membuka saingan dengan baik, namun Farres pantas mengambil kesempatan untuk merampas kedudukan hadapan. Al-Syafiq dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING turut bijak membaca ruang dan memintas Akif, sekaligus membentuk trio pendahulu seawal pusingan pertama.

Di belakang, Nuzzul Ady Mad Sudin dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING berada di tempat keempat, diikuti Md Naqib Rifqi Zulhelmi dari RS MEGATECH RACING TEAM yang mengekori rapat.

Menjelang pusingan keenam, empat pelumba teratas telah meninggalkan kelompok kedua sejauh enam saat, menandakan dominasi jelas mereka dalam perlumbaan ini. Pada pusingan kelapan, Akif mencatat masa terpantas 47.822s dalam usahanya mencari ruang untuk kembali ke depan, namun Al-Syafiq kekal memberi tekanan rapat terhadap Farres yang masih mendahului.

Drama bermula di pusingan ke-10 apabila Al-Syafiq berjaya memintas Farres untuk mengambil alih kedudukan pertama. Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Farres segera merampas semula tempat teratas. Dalam kekalutan perebutan itu, Akif mengambil peluang memotong kedua-dua mereka sekali gus muncul pendahulu baharu.

Malangnya, di pusingan ke-11, Al-Syafiq terbabas dan terjatuh. Walaupun kembali menyambung perlumbaan, beliau terlepas peluang podium. Situasi itu membolehkan Farres kembali ke kedudukan pertama dengan Akif menjadi pengekori utama.

Cubaan Akif untuk menekan Farres di dua pusingan terakhir tidak berhasil apabila pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING itu kekal konsisten sehingga ke garisan penamat dengan catatan 9’46.759s.

Akif terpaksa akur di tempat kedua dengan 9’47.895s, sekaligus menangguhkan peluang untuk menamatkan musim dengan kejuaraan keseluruhan di Jempol. Nuzzul pula memastikan podium milik YAMAHA ESTREMO 27 RACING selepas menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 9’48.071s.

Farres berkongsi, “Syukur Alhamdulillah, ini rezeki daripada Allah. Sudah lama saya nantikan kemenangan ini. Sebelum datang ke Jempol, saya sudah berjanji dengan bos bahawa kita mesti menang di sini. Yamaha sudah lama tidak meraih tempat pertama dalam kategori Wira KBS, jadi kemenangan ini sangat bermakna untuk pasukan. Untuk perlumbaan kali ini, kami berani mencuba setup baharu kerana dalam beberapa pusingan sebelum ini, kami tidak banyak berada di podium. Kami mengambil risiko pada hari Sabtu untuk memastikan kemenangan hari ini. Alhamdulillah, walaupun risikonya tinggi, perancangan kami menjadi. Ini hasil kerja keras semua ahli pasukan. Saya sangat terharu kerana menang dikelilingi orang-orang yang sangat menyokong saya.”

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. FARRES PUTRA MD FADHILL – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (9’46.759s)
  2. MD AKIF ABDULLAH – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (9’47.895s)
  3. NUZZUL ADY MD SUDIN – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (9’48.071s)
  4. MD DARWISH AMSYAR MD RIDZWAN – RS MEGATECH RACING TEAM (9’56.259s)
  5. MD NAQIB RIFQI ZULHELMI – RS MEGATECH RACING TEAM (9’56.657s)