Aksi semakin mendebarkan pada baki dua pusingan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix dalam kategori Honda RSX One Make Challenge, dengan perhatian mula tertumpu kepada Md Fairil Hazmi Farid Sezli.
Menghuni kedudukan kedua keseluruhan dengan 132 mata, Fairil bersaing rapat dengan Md Naqib Rifqi Zulhelmi yang mengumpul 142 mata. Kedua-dua pelumba ini telah mencatatkan tiga kemenangan, dan masing-masing enggan mengalah untuk menjulang kejuaraan keseluruhan musim ini.
Dengan hanya 10 mata perbezaan di belakang Naqib, Fairil tetap positif bahawa peluang untuk merebut gelaran juara masih cerah. Dalam perbualan bersama Fairil, beliau berkongsi pandangan dan persiapan menjelang pusingan 9 di Bandar Medini Iskandar, Johor.
“Persiapan saya untuk pusingan 9 ini melibatkan beberapa sesi latihan dalam dua atau tiga kali, di samping menjaga kecergasan melalui senaman di rumah. Saya tahu betapa pentingnya untuk berada dalam keadaan terbaik sebelum perlumbaan.”
“Untuk pusingan 9 di Bandar Medini Iskandar, saya belum pernah berlumba di trek ini sebelumnya kerana tahun ini adalah tahun pertama saya menyertai Kejuaraan PETRONAS MAM. Saya sangat teruja dan ingin memahami selok-belok litar ini secepat mungkin,” tambah Fairil.
Fairil juga berhasrat untuk mendapatkan catatan masa terbaik semasa sesi latihan bebas dan kelayakan, dengan percaya bahawa setiap saat di atas litar adalah penting untuk meningkatkan kedudukan. “Cabaran utama yang saya hadapi adalah untuk mengutip mata tanpa terjatuh. Saya perlu fokus dan memastikan bahawa setiap perlumbaan yang saya jalani dapat memberikan hasil yang positif.”
Dalam persaingan sengit dengan Naqib, Fairil mengakui, “Naqib adalah seorang pelumba yang berpengalaman, dan saya yakin dia akan menjadi saingan utama saya kerana dia mempunyai pengalaman di trek ini. Namun, saya juga akan memberikan saingan yang sengit dalam perlumbaan di Medini Iskandar ini.”
Dengan semangat juang dan persiapan yang rapi, Fairil bersedia untuk mengharungi cabaran yang mendebarkan di Medini Iskandar. “Saya akan berusaha sehabis baik untuk dua pusingan yang tinggal ini. Saya merancang untuk menghabiskan perlumbaan dengan kedudukan terbaik yang mungkin, dan saya akan bekerjasama dengan pasukan untuk memastikan strategi kami berjalan lancar.”

Leave a Reply