Duo pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Md Aqil Danial Nasrul dan Danial Johan kini dilihat mempunyai kelebihan berbanding pelumba-pelumba lain untuk mendominasi kategori Wira KBS buat kali ketiga berturut-turut. Strategi 4 pelumba yang digunakan pasukan kendalian oleh bekas Juara Cub Prix 2004, K. Sivanesan dilihat merupakan satu kelebihan. Selain itu, prestasi jentera dan rekod musim ini membuktikan dominasi pasukan ini dengan empat kemenangan pada permulaan musim yang berlangsung di Litar Sepang musim ini.

Pendahulu keseluruhan, Aqil Danial tidak mahu merasa selesa dengan situasi semasa malah terus melipat ganda persiapan untuk mengejar kejuaraan. Beliau menjangkakan saingan sengit akan diterima dari pencabar lain namun dalam masa yang sama tetap akan cuba menggenggam trofi kejuaraan.
“Saya rasa semua pelumba kuat. Danial pun kuat jugak. Tengok pada rezeki, saya kalau boleh nak menang. Saya dah buat persiapan untuk kejar juara keseluruhan”, ulas Aqil yang kini menerajui senarai pelumba dengan 113 mata.

Rakan sepasukan Aqil, Danial Johan yang kini mengekori dengan jurang 9 mata mengakui sedikit tekanan menjelang pusingan akhir nanti kerana ini kali pertama beliau bersaing untuk merebut kejuaraan namun tetap meletakkan harapan untuk mencabar kejuaraan tersebut. Dalam masa yang sama, Danial mengakui misi untuk memastikan kemenangan milik pasukan adalah lebih utama dan beliau bersama rakan pasukan yang lain akan membantu Aqil jika keadaan memerlukan.
“Saya sedikit tertekan sebab ini kali pertama saya bersaing merebut kejuaraan. Saya akan cuba bersaing untuk gelaran juara tapi kalau tak boleh, kami akan bantu Aqil untuk dapatkan gelaran juara”, jelas Danial.
Walau bagaimanapun Md Irfan Haykhal Amidi dan Md Harith Haziq Zamri enggan mengaku kalah dan tetap bersemangat untuk mencabar kejuaraan.

“Pasukan saya telah menyediakan jentera saya dengan sangat baik untuk menghadapi perlumbaan di Sepang nanti. Saya akan cuba mendapatkan mata sebanyak mungkin untuk bersaing merebut gelaran juara keseluruhan”, ujar pelumba Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team, Irfan Haykhal.
Irfan mencipta kejutan dengan dua kemenangan berganda di Tangkak bulan lalu, sekaligus melonjak dari tempat kelapan ke kedudukan ketiga keseluruhan dengan 100 mata. Berdasarkan prestasi ini, Irfan dijangka menjadi pencabar kejuaraan pada pusingan akhir nanti.

Seorang lagi pelumba dari kem Honda, Harith Haziq yang berlumba untuk Castrol Power1 Honda Team juga yakin untuk jadi penghalang duo 31 Racing untuk mencipta hatrik. Harith telah melebur rekod dominasi pasukan tersebut dengan dua kemenangan di Litar Permotoran Terengganu ketika perlumbaan Pusingan 5 dan 6 namun nasib tidak menyebelahi beliau di Tangkak apabila terlibat dengan kemalangan dan mengalami kecederaan pada Pusingan 7. Kecederaan itu menyebabkan Harith tidak dapat menyertai perlumbaan Pusingan 8 dan pulang tanpa sebarang mata pada dua pusingan terakhir. Perbezaan 14 mata tidak melunturkan impian Harith memburu kejuaraan.
“Saya ada keyakinan dengan situasi dan prestasi saya sekarang walaupun saya sedar pendahulu kejuaraan mempunyai kelebihan untuk menghalang saya tapi saya akan tetap akan cuba sehingga ke garisan penamat”, Harith menerangkan hasrat beliau untuk mencabar kejuaraan.
Selain empat pelumba ini, berdasarkan kiraan mata semasa dan baki perlumbaan terdapat 6 lagi pelumba yang mempunyai peluang mengugat kejuaraan. Pastinya perebutan takhta masih terbuka dan saingan sengit pastinya apabila perlumbaan Pusingan 9 dan 10 Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia berlangsung di Litar Sepang pada 17-19 Disember ini.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook