fbpx

DRAMA PUSINGAN AKHIR WIRA


PENDAHULU, AIMAN GAGAL KE PUSINGAN AKHIR

Perlumbaan kategori Wira semakin sengit dan penuh drama setelah pendahulu keseluruhan, Mohd Aiman Tahiruddin terkeluar dari barisan pelumba yang layak ke perlumbaan akhir setelah menduduki tempat terakhir ketika sesi kelayakan pada hari pertama pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akibat masalah mekanikal jentera di Dataran Bandar Penawar, Johor, hari ini.

Mohd Aiman yang hanya memerlukan tiga mata sahaja lagi untuk mengesahkan gelaran sebagai juara keseluruhan terpaksa mengharapkan pencabarnya, Mohd Syafieq Aiman (Elf Koyoko KC Racing Team) tidak memenangi perlumbaan seandainya mahu menamatkan musim 2017 selaku juara keseluruhan.

Dalam pada itu, Mohd Syafieq Aiman turut menghadapi cabaran menjelang perlumbaan akhir apabila bakal memulakan perlumbaan akhir dari petak ketiga setelah mencatat masa 59.188s pada sesi kelayakan Shootout di belakang Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) yang merakam masa terpantas 59.063s diikuti rakan sepasukan, Syarifuddin Azman kedua, 59.136s.

Syafieq akui turut terkejut dan tidak menyangka Aiman akan menghadapi masalah mekanikal dan gagal layak ke perlumbaan akhir. “Saya tidak tahu apa yang berlaku ketika sesi kelayakan. Saya terkejut dan sama sekali tidak menyangka Aiman gagal untuk mara ke perlumbaan akhir. Walaupun keadaan ketika ini memberi lebih tekanan, saya berharap dapat menggunakan peluang ini untuk mencipta kemenangan,” jelas Syafieq.

, , ,