Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Gerisik, Johor menampilkan keistimewaan tersendiri apabila menjadi perlumbaan rasmi pertama di litar milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 24 dan 25 Mac ini.
Litar sepanjang 1.025km milik KBS yang siap dibina pada penghujung 2016 itu dibina mengikut spesifikasi yang disyorkan oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM) memiliki keseimbangan dari segi kelajuan dan kemahiran teknikal serta bersesuaian dengan penganjuran sukan-sukan permotoran tempatan termasuk Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Litar ini mempunyai laluan lurus terpanjang sejauh 290m dan mempunyai tujuh selekoh kiri serta dua selekoh kanan dimana laluan melawan arah jam akan digunakan untuk perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia minggu ini.
“Tiga selekoh awal memerlukan kelajuan jentera manakala gabungan selekoh kiri – kanan dari selekoh 4 ke selekoh 6 dilihat sebagai faktor penting dalam menentukan kemenangan pelumba,” jelas Shafry Azizan, Ketua Operasi Cub Prix.
Perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan Litar Lumba Tangkak pada hujung minggu ini turut akan dimeriahkan dengan kehadiran delegasi Persekutuan Sukan Automobil dari Turkmenistan yang akan melakukan lawatan sambil belajar tentang kemudahan litar dan pengurusan acara perlumbaan.
Sesi latihan rasmi akan bermula pada jam 9.30 pagi hari Jumaat (24 Mac) dan perlumbaan akhir akan bermula pada jam 12 tengah hari Sabtu (25 Mac). Orang ramai boleh menyaksikan kedua-dua hari perlumbaan secara percuma. Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung.