Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali hujung minggu ini untuk acara pembuka tirainya yang akan berlangsung di Bandar Jasin Bestari, Melaka. Aksi kategori CP125 akan diteruskan dengan barisan pelumba lama dan baharu dalam perjuangan mereka untuk meraih gelaran juara.
Pada musim lepas, kategori ini telah menyaksikan persembahan Md Khairi Ashraf dan Md Shafiq Ezzariq, dua pelumba sepasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team bersaing rapat untuk menyahut gelaran juara. Sepanjang sepuluh pusingan tersebut, kedua-dua pelumba tersebut telah memaparkan prestasi yang konsisten dan walaupun dicabar oleh pelumba-pelumba lain yang setaraf dengan mereka, duo sepasukan ini telah membuktikan kebolehan dalam mempertahankan kedudukan di tangga kejuaraan. Khairi menamatkan musim tersebut sebagai juara dengan jumlah sebanyak 167 mata secara keseluruhan manakala Shafiq meraih tempat kedua dengan jumlah sebanyak 150 mata secara keseluruhan.
Menurut Khairi, “Persiapan saya untuk pusingan akan datang lagi lebih berfokus kepada persediaan dan latihan fizikal. Saya banyakkan latihan kecergasan supaya badan saya lebih kuat untuk cabaran di litar yang teknikal. Dari segi persiapan jentera pula, banyak yang telah berubah seperti biasa kerana pasukan sentiasa mencari kelebihan berbanding dengan yang lepas. Pada musim lepas, walaupun saya dapat mengekalkan kedudukan saya, namun saya sedar yang saya kekurangan latihan fizikal yang menyebabkan saya banyak buat kesilapan. Oleh itu, musim ini, saya kerapkan lagi masa berlatih supaya dapat mengatasi kesilapan tersebut. Pesaing saya ramai kerana pelumba-pelumba kategori ini agak hebat dan kompetitif. Tetapi, saya akan cuba yang terbaik untuk membaiki cara tunggangan saya dan mengelak kesilapan supaya dapat bersaing dengan lebih baik. Selama ini, pasukan saya telah banyak membantu dari segi training dan juga dalam penyediaan jentera yang hebat. Kelebihan saya mungkin umur saya di mana saya masih lagi berpeluang untuk berlumba di kategori ini dan kekurangan saya pula adalah prestasi saya. Saya masih belum mencapai tahap yang saya impikan. Oleh itu, saya akan terus berusaha.”
Shafiq berkata, “Untuk pusingan pertama, saya sudah bersedia dari segi mental untuk cabaran yang akan datang. Saya memang akan cuba sedaya upaya untuk menjadi juara keseluruhan pada musim ini memandangkan musim lepas, saya hanya berjaya mendapat naib johan. Dari segi fizikal, saya konsisten dalam membina stamina. Saya banyakkan masa di gym dan fokus untuk meningkatkan kecergasan fizikal saya. Musim ini, kami juga ada penaja baharu. Oleh itu, mungkin ada sedikit keistimewaan. Pada musim lepas, saya banyak melakukan kesilapan, maka pada musim ini, saya perlu kurangkan kesilapan di mana boleh. Saya juga perlu lebih konsisten dengan aksi dan pencapaian saya. Paling penting, saya perlu keluar daripada zon selesa saya dan bersaing dengan lebih kompetitif. Pesaing paling dekat saya, sudah pasti rakan sepasukan saya. Kalau di lihat pada musim lepas, saya banyak bersaing dengan Khairi tetapi ada juga pesaing dari pasukan lain seperti Aliff Danial dan Adie Putra. Pasukan saya banyak membantu dari segi jentera. Mereka sentiasa mencari jalan untuk menambahkan “power” jentera. Pasukan kami juga telah melakukan “testing” jentera yang diperlukan. “Setup” pun sudah siap. Maka, kami agak bersedia untuk pusingan pertama. Kelebihan
mungkin adalah pengalaman yang telah ditimba dan keserasian saya dengan jentera yang saya bawa. Kekurangan saya adalah litar yang agak sukar. Walau bagaimanapun, saya tetap akan buat yang terbaik.”
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Md Adam Haikal yang menyertai kategori CP125 pada musim lepas setelah menjuarai kategori Wira KBS pada tahun 2022 juga akan kembali menyertai barisan pelumba bagi kategori ini. Jelas ternyata, tahun lepas agak mencabar bagi beliau lebih-lebih lagi dengan pengalaman yang agak minima dalam kategori ini. Namun begitu, Adam telah menyahut cabaran tersebut dengan sikap yang positif dan telah membuktikan kebolehannya untuk mempelajari selok-belok perlumbaan dengan pantas. Beliau menamatkan musim tersebut di tangga keempat secara keseluruhan.
Menurut Adam, “Persiapan untuk pusingan satu yang akan datang adalah lebih kepada kekuatan fizikal saya. Saya selalunya menjalani latihan pada hujung minggu terutamanya latihan di atas motosikal untuk penambahbaikan gaya tunggangan saya di litar. Dari segi jentera, ada perubahan “outlook”. Coraknya berlainan daripada musim lepas. Secara keseluruhan, jentera saya diubahsuai untuk mengikut kebolehan saya untuk memastikan keselesaan dan pencapaian yang bagus. Saya banyak belajar pada musim lepas dan daripada pengalaman saya, saya perlu lebih aggressif di litar untuk bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih mahir. Musim ini seperti juga musim lepas, persaingan sudah pasti sengit dan saya jangkakan aksi Khairi, johan musim lepas akan lebih mantap pada musim ini. Sepanjang saya bersama pasukan saya, mereka telah banyak membantu dari segi persiapan terutamanya dalam memastikan saya mempunyai latihan yang secukupnya dan juga dalam memastikan jentera saya dalam keadaan yang baik. Sejak saya mula berlumba di kategori ini, saya lebih berdisiplin dan berani untuk mencuba benda-benda baharu. Ini telah memberikan saya lebih keyakinan untuk berlumba secara positif. Walaupun jentera pelumba hampir sama, kekurangannya adalah untuk mengatasi pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook