Tiada istilah ‘Mee Segera’ dalam melahirkan bintang sukan termasuklah sukan permotoran. Nama Khairul Idham Pawi menjadi sensasi dan menjadi ‘viral’ dalam istilah hari ini setelah mencipta kemenangan sensasi di Grand Prix Argentina pada 3 April lepas.
Kemenangannya menjadi bualan seluruh negara. Sekejap sahaja namanya mula membanjiri rangkaian media tidak kira yang tradisional ataupun jaringan media sosial. Remaja berusia 17 tahun itu sebelum ini yang hanya dikenali oleh peminat-peminat tegar sukan permotoran mula menjadi sebutan hampir di setiap pelusuk, dari peringkat pimpinan tertinggi sehingga ke masyarakat biasa.
Semuanya selepas Khairul Idham atau terkenal dengan gelaran SuperKIP menjadi pelumba Malaysia pertama yang memenangi perlumbaan di kejuaraan peringkat dunia itu. Namun, berapa ramai yang sedar, atau sekurang-lurangnya memikirkan bagaimana kejayaan ini datang. Apa yang dicapai memerlukan perjalanan yang panjang, dan bagi Khairul, kerja kerasnya bermula sejak lebih separuh dekad lalu.
Pelumba kelahiran Perak itu membuat penampilan sulung di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dalam kategori Cabaran Honda Wave Junior – perlumbaan satu pengeluar yang dibiayai oleh Honda sebagai landasan mencari bakat-bakat baharu. Pada tahun 2012 ketika berusia 13 tahun, bakat Khairul Idham telah mula disedari apabila berjaya mendominasi saingan kelas tersebut. Tahun berikutnya, Khairul Idham beralih ke kelas terbuka iaitu kategori Wira – perlumbaan khusus buat remaja berusia 13 hingga 17 tahun.
Pada tahun serupa juga Honda meletakkan remaja itu beraksi di dalam saingan Asia Dream Cup, perlumbaan satu pengeluar Honda yang dijalankan serentak bersama Kejuaraan Motosikal Asia FIM. Dalam tempoh dua tahun, Khairul berjaya memahatkan namanya sebagai juara ketiga dalam kategori perlumbaan melibatkan remaja seluruh Asia yang mula diperkenalkan pada tahun 2012. Khairul turut mendominasi saingan Wira apabila muncul sebagai juara keseluruhan pada tahun yang sama. Tahun 2015, Khairul melangkah lebih jauh apabila dipilih untuk membawa cabaran Honda Team Asia di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia di Sepanyol selain turut menghabiskan tahun tersebut di dalam Kejuaraan Cub Prix dalam kategori CP115.
Pada tahun 2016, pelumba muda itu membuat penampilan pertamanya dalam saingan Moto3 Kejuaraan Grand Prix Dunia.
Kemenangan yang diraih di Argentina meletakkan Khairul sebagai pelumba pertama yang memenangi perlumbaan dunia dan juga pelumba pertama yang menghadiahkan podium buat pasukan Honda Team Asia. Ketika itulah tercetusnya fenomena ‘Khairul Idham Pawi’.
“Mewakili semua yang terlibat di dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia, kami mengucapkan tahniah di atas kejayaan Khairul Idham. Kami berkongsi kegembiraan di atas kejayaannya dan pada masa sama berharap dia mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang ini dan lebih banyak kejayaan akan dicapai,” jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter bagi Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
“Kejuaraan Cub Prix Malaysia sudah berlangsung selama 23 tahun pada tahun ini dan sedikit demi sedikit mengubah perjalanan industri sukan permotoran negara – khususnya dalam misi untuk melihat bakat-bakat muda seperti Khairul Idham sentiasa datang, berkembang dan bersinar.
“Proses ini bukan sesuatu yang datang dalam sekelip mata. Ia merupakan satu proses yang panjang – usaha bermula dari mewujudkan kelas Wira yang pada awalnya tidak cukup meyakinkan bagi sesetengah pihak, usaha meyakinkan pihak pengeluar untuk sama-sama mewujudkan landasan perlumbaan bagi mengesan lebih ramai bakat muda, untuk meyakinkan PETRONAS dan rakan-rakan penaja lain dalam usaha mewujudkan landasan yang memberi manfaat kepada banyak pihak, bukan hanya kepada pihak tertentu.â€
Merumus lebih lanjut, “Sekarang kita sudah melihat usaha selama dua dekad ini semakin membuahkan hasil. Selepas Khairul, di belakangnya terdapat ramai lagi pelumba yang berpotensi, malah bakat-bakat ini berada di dalam pelbagai peringkat.
“Khairul merupakan antara contoh di mana tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Proses membangunkan seseorang atlet memerlukan masa dan kejayaan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata. Misi Kejuaraan Cub Prix adalah untuk ‘Melahirkan Wira Malaysia Masa Hadapan’ jadi, menjual tiket-tiket kepada penonton tidak berada langsung dalam perancangan. Kejuaraan ini adalah percuma untuk penonton-penonton. Selain kerana minat, kami sentiasa percaya terhadap bakat-bakat yang ada di Malaysia dan Asia. Kebajikan pelumba dan pasukan sentiasa menjadi keutamaan terlebih dahulu sebelum perkara-perkara lain. Keputusan ini bukan untuk mencipta nama, tetapi untuk masa depan sukan permotoran.”
Teruskan menyokong Khairul Idham, sama-samalah menyokong Hafizh Syahrin, Adam Norrodin, Zulfahmi Khairuddin, namun akan umbi jangan dipinggirkan!