BERFIKIRAN POSITIF, KUNCI KEJAYAAN

Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix tahun 2022 sudah sampai ke penghujung musim ke-29. Dengan pengumuman juara keseluruhan pada pusingan kesembilan, pusingan kesepuluh akan memeriahkan lagi acara penutup tirai yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing akan menceriakan lagi suasana bagi kategori CP150.

Afif telah memulakan musim ini dengan nada positif apabila beliau meraih kemenangan bukan sahaja di pusingan pertama malah juga bagi pusingan kedua. Walaupun pusingan ketiga tidak begitu menyebelahi beliau, Afif kembali dengan semangat membara untuk memperjuangkan kedudukan di pusingan seterusnya. Dengan hasil usaha tersebut, beliau berjaya menempatkan dirinya di tempat ketiga bagi pusingan keempat dan kelima.

Pada pusingan keenam, Afif menamatkan perlumbaannya di tempat kelima. Dengan itu, boleh di katakan bahawa kemahiran beliau lebih mantap di litar teknikal berbanding dengan litar Sepang yang lebih memerlukan kemahiran litar kelajuan tinggi. Namun begitu, Afif kekal cekal untuk berjaya dan pada pusingan ketujuh, Afif meraih tempat kedua sebelum meraih satu lagi kemenangan di pusingan seterusnya. Dengan itu, kedudukan beliau menjadi semakin teguh. Di pusingan kesembilan, Afif menamatkan perlumbaannya di tempat keenam sekaligus menyambar takhta kejuaraan dengan jumlah 157 mata secara keseluruhan.

Menurut Afif, “Tahun ini sangat mencabar bagi saya kerana peraturan baru yang dikuatkuasakan seperti pemotongan RPM bagi jentera milik pemenang, tidak kira jentera Yamaha mahupun Honda. Oleh sebab itu, pasukan kami harus sentiasa mencari “setup” baru dan penyelarasan yang baik bagi jentera kami apabila pemotongan RPM dikenakan. Ini menjadikan cabaran lebih sukar ditangani lebih-lebih lagi dengan litar-litar yang berlainan.”

“Ini adalah salah satu sebab saya memilih untuk bekerja di bengkel pasukan saya supaya saya lebih memahami lagi enjin serta jentera saya. Dengan pengetahuan yang saya peroleh, saya dapat memberikan informasi yang lebih terperinci kepada juru mekanik. Pengajaran paling penting yang saya pelajari tahun ini adalah untuk sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan ataupun keputusan yang diperolehi.”

Mengenai pelan masa depan, Afif berkata, “Pelan saya untuk musim akan datang adalah seperti biasa. Saya akan sambung macam biasa dengan latihan kecergasan fizikal dan jikalau saya mempunyai peluang untuk ke peringkat yang lebih baik, saya pasti akan ke sana. Keluarga saya banyak memberikan sokongan dan dorongan kepada saya. Ketua pasukan saya iaitu Abang Mir selalu membantu saya walau apa jua kesusahan. Pasukan saya tidak pernah berputus asa.”

Sebagai seorang ayah baru, Afif berkata, “Sememangnya susah bagi saya membahagikan masa bagi keluarga dan karier tetapi walaupun saya mempunyai sedikit masa, saya akan luangkannya bersama keluarga saya.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook