fbpx
Pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar akhirnya berjaya bergelar Juara CP150 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix

AZROY JUARA CP150 MUSIM 2021

Setelah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam 10 pusingan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar akhirnya berjaya bergelar Juara CP150.

Pusingan penutup tirai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2021 bermula dengan lancar di Litar Sepang Selatan.  Selepas dua hari mereda hujan dan banjir akibat ribut kuat yang melanda, para pelumba Cub Prix akhirnya dikurniakan dengan cuaca yang begitu sempurna untuk perlumbaan terakhir musim 2021.

Beraksi di atas litar yang kering, rentak perlumbaan semakin rancak dengan setiap perlumbaan yang dianjurkan.

Setelah sembilan pusingan yang berlalu, buruan Juara CP150 belum lagi ada penyelesaian. Pada permulaan perlumbaan, Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing mempunyai kelebihan 8 mata di tangga teratas kejuaraan.

Namun, Azroy Hakeem Anuar yang telah jatuh ke tangga ke-2 keseluruhan, enggan menyerah. Pelumba Honda tersebut berjaya merampas kedudukan petak pertama dalam sesi kelayakan CP150. Walaupun bermula dari petak pertama, Azroy memilih strategi konservatif dalam perlumbaan CP150 Akhir sepanjang 11 lap itu.

Tatkala pelumba-pelumba lain berasak untuk mendahului perlumbaan, Azroy cuma fokus mengekalkan kedudukannya di kalangan kelompok pertama. Berbaki tiga lap perlumbaan, Azroy mula mengorak langkah meletakkan dirinya di tempat yang strategik.

Strategi ‘curi angin’ ataupun slipstreaming Azroy berjaya apabila pelumba Honda tersebut membuat kejutan di garisan penamat. Azroy berjaya mengungguli perlumbaan penutup tirai dengan catatan masa 14’13.682s. Kemenangan ini sekaligus mengesahkan kedudukan Azroy sebagai Juara CP150 dengan 163 mata.

“Perlumbaan tadi memang mencabar kerana terlalu ramai pelumba-pelumba Yamaha yang berada di depan. Oleh itu, saya memilih strategi yang lebih selamat. Musim ini juga agak mencabar bagi kami semua. Agak sukar untuk mendapat momentum apabila penganjuran perlumbaan terpaksa ditangguh akibat pandemik Covid-19. Namun, saya amat bersyukur mendapat peluang untuk menamatkan musim 2021 dengan kejayaan yang diidamkan selama ini. Saya akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan prestasi kami dalam musim hadapan,” kata Azroy.

Tempat kedua dimenangi Ahmad Fazrul Sham dengan catatan masa 14’13.700s dan Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan menduduki tempat ke-tiga dengan 14’13.702s.

Pesaing terdekat Azroy, Ahmad Afif Amran, menamatkan perlumbaan penutup tirai di tempat ke-5, dan terpaksa akur di tangga kedua keseluruhan dengan 157 mata. Mohd Akid Aziz menamatkan musim 2021 di tangga ketiga dengan 135 mata.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook