AZROY AKHIRI KEMARAU KEMENANGAN

Perlumbaan kategori CP150 di pembuka musim Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Lumba Tangkak, Johor menyaksikan Azroy Hakeem Anuar dari HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING menampilkan tunggangan penuh keyakinan dalam keadaan litar basah untuk menghadiahkan kemenangan bergaya buat pasukannya.

Bermula dari petak utama, Azroy tidak mensia-siakan kelebihan di grid apabila segera menguasai perlumbaan sebaik lampu dipadamkan, diiringi rakan sepasukan Ahmad Darwisy Ahmad Sahir di tempat kedua. Md Haziq Md Fairues dari IDEMITSU HONDA YAM RACING pula kekal rapat di tempat ketiga, sementara Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mula menunjukkan rentak agresif dari kelompok hadapan.

Memasuki lap kedua, Haziq mula meningkatkan tekanan apabila mencatat masa terpantas 47.271s untuk merampas kedudukan kedua, sekali gus menolak Darwisy ke belakang. Tidak lama kemudian, Kasma turut menyelinap ke hadapan, menjadikan perebutan podium semakin sengit dalam keadaan permukaan litar yang masih licin.

Pada lap keempat, Kasma membuktikan dirinya semakin selesa di atas trek basah apabila mencatat masa terpantas 46.574s untuk terus mengecilkan jurang dengan kelompok hadapan. Namun Darwisy kembali menyerang pada lap berikutnya dengan catatan 46.363s untuk merampas semula kedudukan ketiga, menandakan pertarungan podium masih terbuka luas.

Ketika perlumbaan memasuki pertengahan saingan, Azroy kekal tenang di hadapan walaupun Haziq mula merapatkan jurang. Kedua-dua pelumba itu berjaya mencipta jarak hampir satu saat daripada kelompok pengejar, menandakan perebutan kemenangan semakin tertumpu kepada dua nama tersebut.

Namun drama kembali berubah menjelang penghujung perlumbaan apabila hujan kembali turun pada lap kesembilan. Dalam keadaan litar yang semakin mencabar, Azroy tetap mengekalkan rentak konsisten dan mencatat masa terpantas 45.862s untuk mengukuhkan kedudukan di hadapan.

Pada lap ke-11, Kasma berjaya memintas Haziq untuk naik ke kedudukan kedua sebelum cuba memburu Azroy yang ketika itu sudah memiliki kelebihan 2.286s. Dalam masa sama, Md Irfan Haykhal Amidi dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING turut tampil pantas dari belakang untuk memberi tekanan kepada perebutan podium.

Memasuki lap terakhir, Azroy terus kekal tenang dan tidak melakukan sebarang kesilapan untuk melintasi garisan penamat dengan catatan 11’47.751s bagi mengesahkan kemenangan pertama musim ini. Kasma menamatkan saingan di tempat kedua selepas kebangkitan cemerlang, manakala Haziq berjaya mempertahankan kedudukan ketiga daripada asakan akhir Irfan untuk melengkapkan podium.

Azroy berkongsi, “Sejujurnya ketika hujan mula turun sebelum perlumbaan, minda saya sudah bersedia dengan apa sahaja kemungkinan. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau bukan milik saya hari ini, saya reda. Tetapi selepas beberapa pusingan, saya nampak keadaan trek semakin kering dan saya mula yakin dengan rentak saya. Namun beberapa pusingan sebelum tamat, hujan turun semula dan ketika itu saya tahu saya perlu kekal tenang. Bila saya pandang ke belakang, saya rasa jurangnya sekitar dua saat, jadi saya hanya perlu kekalkan kelajuan dan elakkan kesilapan yang tidak sepatutnya. Saya sangat gembira untuk pasukan kerana kami sudah melalui tempoh yang sukar selama beberapa musim, dan tahun ini akhirnya kami kembali berada di depan. Secara peribadi, sudah lama saya menunggu untuk kembali merasai kedudukan nombor satu ini. Selama ini saya hanya berada di podium, tetapi bukan di puncak. Jadi kemenangan ini memang sangat bermakna untuk saya. Saya harap kami dapat teruskan momentum ini pada pusingan seterusnya.”

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. Azroy Hakeem Anuar – HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING (11’47.751s)
  2. Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (11’50.718s)
  3. Md Haziq Md Fairues – IDEMITSU HONDA YAM RACING (11:53.396s)
  4. Md Irfan Haykhal Amidi – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (11’53.689s)
  5. Md Afizi Supaat – VOGE RACING TEAM (11’58.012s)