AS25 Academy Racing Team mengorak langkah pertama dengan menyertai kelas Wira KBS melalui gandingan dua pelumba cilik Mohd Afiq Hamdan dan Saidatul Zakirah Zairin. Pasukan kendalian Juara Asia sebanyak tiga kali, Azlan Shah Kamaruzaman buat pertama kali menyertai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix pada musim ini.
Azlan mengakui bukan suatu yang mudah untuk menubuhkan sebuah pasukan namun beliau berhasrat untuk mencurahkan segala pengalamannya kepada lapisan pelumba baru untuk maju ke pentas perlumbaan yang lebih tinggi. Azam dan semangat tersebut yang mendorong beliau untuk menubuhkan AS25 Academy Racing dan menyertai kejuaraan ini. Sebagai pendatang baru dalam kejuaraan ini, Azlan enggan meletakkan matlamat yang terlalu tinggi namun optimis untuk memberikan saingan.
“Pelbagai rintangan harus kami tempuhi. Banyak perkara yang perlu kami belajar. Musim pertama ini kami akan tumpukan untuk belajar dan memperbaiki dan ruang yang ada untuk mendapatkan keputusan terbaik. Kami akan berusaha untuk membalas kepercayaan semua pihak yang telah menyokong kami untuk merealisasikan hasrat kami menyertai Cub Prix,” kata Azlan yang pernah dinobat Juara CP130 pada tahun 2012 sebelum mencipta nama di pentas Asia dan kemudian bersaing di kelas Moto2.
Apabila ditanya tentang matlamat jangka panjang, Azlan berkata, “Pastinya impian saya adalah untuk pergi ke peringkat tertinggi namun buat masa ini saya tumpukan pada saingan Cub Prix dan kami juga menanam impian untuk menyertai kelas CP150 pada suatu masa nanti.”
Mohd Afiq Hamdan yang sebelum ini bersaing dalam kelas Yamaha PETRONAS Super Series berharap dapat mencipta keputusan terbaik pada musim ini. “Saya meletakkan sasaran pada tahun ini untuk cuba menamatkan perlumbaan di kedudukan 5 terbaik berbekalkan tunjuk ajar Abang Lan,” jelas Afiq yang mula berkenalan dengan Azlan Shah dalam permainan e-games ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dua tahun lalu.
Manakala Saidatul Zakirah yang lebih mesra dengan panggilan Kirah tidak menyangka beliau kini mendapat tunjuk ajar dan bernaung dibawah pasukan Juara Sulung ASB1000 itu. “Saya mula bertemu Abang Lan pada 2013 di Qatar kerana pada waktu itu kami menetap di sana. Sejak itu saya semakin minat untuk menyertai sukan ini. Saya mula menyertai akademi di Qatar dan pulang ke Malaysia pada tahun lalu untuk menyertai kategori Honda Dash 125 Challenge pada tahun lalu dan tak sangka dapat bersama beliau pada musim ini,” jelas Zakirah menyingkap kisahnya bertemu Azlan Shah ketika perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Losail, Qatar pada tahun 2013.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook

