Satu nama menonjol dalam kategori HONDA RSX ONE MAKE CHALLENGE bagi Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025. Nama itu menjadi lambang semangat, komitmen, dan bakat yang konsisten, Md Aqil Ramadhan dari Selangor, Juara Keseluruhan musim 2025.
Perjalanan Aqil bermula dengan langkah kecil, sekadar bermain pocket bike. Dari hanya berkata “Nak main lagi…”, kini kata-kata itu berubah menjadi pengumuman yang membanggakan: “Ayah, saya juara.” Minat permotoran Aqil disemai oleh ayahnya sendiri, dan walaupun anak sulungnya tidak meneruskan minat itu, Aqil menunjukkan kesungguhan sejak awal, menjadikan sukan ini bukan sekadar hobi, tetapi satu komitmen yang serius.
Pengorbanan keluarganya turut memberi motivasi. Adik Aqil, Amirul Mukminin, terpaksa meninggalkan sukan permotoran kerana kos yang tinggi. Bagi Aqil, ia bukan sahaja tentang menang untuk dirinya, tetapi untuk membuktikan nilai pengorbanan itu. Dengan janji kepada ayahnya bahawa setiap pusingan beliau akan berada di podium, Aqil menghadapi cabaran musim ini dengan tekad.
Tidak semua pusingan berjalan lancar. Masalah teknikal, kesilapan, dan insiden jatuh menyebabkan keputusan “Did Not Start” atau “Did Not Finish” pada Pusingan 5 dan Pusingan 8, meninggalkan kesan emosi yang mendalam. Namun, Aqil bangkit dengan kekuatan mental yang luar biasa, menamatkan musim dengan 7 kemenangan dan 1 tempat kedua, membuktikan bahawa janji bukan sekadar kata-kata kosong.
Musim 2025 menonjolkan Aqil sebagai seorang pelumba yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga disiplin, berdedikasi, dan berpegang teguh kepada komitmen. Kejayaannya musim ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kariernya, malah menimbulkan jangkaan bahawa beliau berpotensi ditawarkan ke pasukan lebih besar pada musim hadapan.
Md Aqil Ramadhan, seorang juara yang lahir daripada minat, pengorbanan, dan tekad yang tidak pernah luntur.

