AL-SYAFIQ SAMBAR PETAK PERTAMA

Saingan Kelayakan Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Permotoran Terengganu hari menyaksikan pelumba IGOL BROTHERS 7 TECH RACING, Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki, mempamerkan kebangkitan pada saat akhir untuk menyambar petak utama kategori WIRA. Menyuntik elemen kejutan yang luar biasa kepada para pesaing, Al-Syafiq muncul sebagai satu-satunya pelumba yang berjaya menembusi halangan masa 51 saat selepas merakamkan catatan masa terpantas 51.932s pada kemuncak sesi penentuan tersebut.

Lebih membanggakan buat pasukannya, kejayaan cemerlang Al-Syafiq ini turut melengkapkan penguasaan kedudukan satu-dua di barisan grid hadapan buat kem IGOL BROTHERS 7 TECH RACING. Rakan sepasukannya, Md Fairil Hazmi Farid Sezli yang pada mulanya mempamerkan prestasi konsisten dan selesa memimpin sesi tersebut, akhirnya terpaksa akur bermula di petak kedua esok menerusi catatan masa kelayakan 52.151s. Sementara itu, Raja Abdurraqib Raja Norfatihah dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING melengkapkan barisan kelompok tiga terbaik di kedudukan ketiga dengan catatan 52.154s, di mana beliau hanya dipisahkan dengan jurang 0.003s dengan Fairil.

Menyelusuri aksi sengit seawal pagi, saingan kategori WIRA kelihatan terbuka dan sukar diramal tatkala cuaca litar kian membahang. Sesi Latihan Bebas 1 menyaksikan Al-Syafiq pantas mencari keserasian awal untuk mendahului carta dengan catatan 52.577s. Namun, intensiti cabaran bertambah hangat pada sesi Latihan Bebas 2 apabila giliran Nuzzul Ady Muhammad Sudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING pula melonjak ke kedudukan teratas menerusi rekod masa 52.515s, disusuli rapat oleh pelumba HONDA RS MEGATECH RACING TEAM, Md Airel Ahmad Marzuki pada 52.553s. Walau bagaimanapun, keazaman utuh Al-Syafiq pada sesi penentuan Kelayakan memastikan posisi idaman itu kekal menjadi miliknya.

Al-Syafiq berkata, “Sejujurnya, permulaan sesi Kelayakan tadi agak mencabar kerana saya bergelut dengan sedikit isu pada jentera. Dalam pada itu, Fairil mempamerkan tunggangan yang sangat cemerlang untuk mendahului dengan catatan masa terpantas. Walaupun bermula dengan kesukaran, ia langsung tidak mematahkan semangat saya. Saya menanam azam, terus memberikan tekanan, dan menunggang dengan lebih agresif untuk mengatasi rekod Fairil.”

“Syukur Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka percubaan di minit-minit akhir itu berjaya meletakkan saya di petak mula yang pertama. Menjelang saingan esok, misi saya hanya satu iaitu untuk bergelar juara. Sepanjang beraksi dalam kategori WIRA, saya masih belum berpeluang merasai kemanisan kemenangan di tempat pertama. Oleh itu, saya akan berjuang habis-habisan dan menumpukan sepenuh perhatian. Saya berharap esok adalah hari rezeki dan hari kemenangan yang sudah lama saya impikan.”



TOP 5 FASTEST – QUALIFYING

  1. MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (51.932s)
  2. MD FAIRIL HAZMI FARID SEZLI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (52.151s)
  3. RAJA ABDURRAQIB RAJA NORFATIHAH – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (52.154s)
  4. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (52.191s)
  5. MD AIREL AHMAD MARZUKI – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (52.415s)