AKIF: IMPIAN JUARA ANAK PULAU PINANG

Pulau Pinang berkemungkinan bakal menyaksikan detik yang mungkin menjadi lembaran sejarah buat seorang anak kelahiran negeri itu sendiri, Md Akif Abdullah dari pasukan ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM.

Musim 2025 telah menjadi saksi kebangkitan luar biasa Akif dalam kategori Wira KBS. Daripada lapan pusingan yang telah berlangsung, anak jati Pulau Pinang ini berjaya mengutip lima kemenangan, tiga kali menamatkan perlumbaan di tempat kedua, serta satu kali di tempat keempat. Konsistensinya meletakkan beliau di ambang kejuaraan keseluruhan, sebuah impian yang hampir tercapai di Pusingan 8 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Namun, harapan untuk mengesahkan gelaran lebih awal di Dataran Seri Jempol bertukar menjadi penantian apabila Akif menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Walaupun kekecewaan jelas terpancar, pintu kejuaraan masih terbuka luas dengan baki dua pusingan dan lebih bermakna, peluang keemasan itu kini hadir di Stadium Negeri, Batu Kawan, negeri kelahirannya sendiri.

Sekiranya berjaya, bukan sahaja Akif akan menoktahkan penantian panjang untuk menjulang gelaran sulung kategori Wira KBS, malah momen itu akan menjadi kenangan abadi yang diraikan di depan keluarga, penyokong setia, dan ribuan peminat yang hadir memberikan sokongan di tanah tumpah darahnya.

Lebih manis lagi, kejuaraan kali ini akan mengubat kekecewaan musim lalu apabila beliau menamatkan musim 2024 sebagai naib juara keseluruhan selepas tewas tipis kepada Farees Putra Md Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING.

Akif berjanji bahawa tidak akan membiarkan kekecewaan di Jempol itu melemahkan semangatnya. “Saya akui sedikit kecewa kerana peluang untuk bergelar juara lebih awal terlepas begitu sahaja, tetapi saya tidak akan biarkan kekecewaan itu mematahkan semangat saya. Gelaran itu masih terbuka luas, dan saya akan kekal tenang menghadapi baki dua perlumbaan musim ini.”

Ketika di Jempol, fokus Akif hanyalah untuk memenangi saingan. Baginya, apa sahaja yang berlaku di situ hanyalah satu peringatan bahawa momen penentu bakal tiba di rumah sendiri. “Sepanjang perlumbaan saya hanya fokus untuk menang, tanpa terlalu memikirkan mata kejuaraan. Tetapi apabila saya tidak berjaya melakukannya di Jempol, saya tahu Pulau Pinang akan menjadi penentu. Dan di hadapan keluarga serta penyokong di negeri kelahiran saya, saya akan lakukan segalanya untuk memastikan gelaran itu jadi milik saya.”

Apabila ditanya tentang detik hampa melihat pasukannya menanti sambutan kejuaraan yang tidak menjadi kenyataan, Akif tidak menafikan perasaan itu berat untuk ditanggung. “Memang ada sedikit rasa hampa kerana saya tahu pasukan sudah bersedia untuk meraikan. Namun, itulah lumrah perlumbaan. Apa yang berlaku di Jempol tidak melemahkan saya, malah ia membuatkan saya lebih bersemangat. Saya dan pasukan sama-sama sepakat, saya mahu menebus peluang yang terlepas dan jadikan Batu Kawan saksi kebangkitan saya.”

Tambahnya lagi, perjalanan penuh cabaran sepanjang musim ini mengajarnya untuk lebih matang dan lebih kuat dalam menghadapi dunia perlumbaan. “Dalam sukan permotoran, tidak semua yang kita impikan akan hadir mudah. Kekalahan, kegagalan, semua itu adalah guru terbaik untuk saya. Saya belajar untuk lebih matang, lebih kuat, dan lebih bersedia.”

Dengan tekad penuh membara, Akif sudah bersedia menulis sejarah baharunya di hadapan keluarga dan ribuan penyokong sendiri. “Saya akan bertarung habis-habisan di Batu Kawan. Gelaran yang terlepas musim lalu kepada Farres menjadi pembakar semangat saya sejak awal musim ini. Tahun ini, saya tidak mahu lepaskan lagi. Saya mahu memastikan di depan keluarga, penyokong, dan semua yang sentiasa percaya pada saya, gelaran juara keseluruhan itu akhirnya jadi milik saya.”