fbpx

AKID SERTAI KEM MASTER VR46


Juara kebangsaan kategori CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Md Akid Aziz terpilih bersama lima lagi pelumba terbaik seluruh Asia untuk menyertai latihan di Kem Master VR46, akademi milik juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi di Tavullia, Itali bermula 10 hingga 14 Mei ini.

Pemilihan pelumba dilakukan berdasarkan kepada bakat, umur dan pencapaian di dalam pelbagai siri perlumbaan dan turut bersama Akid di Itali ialah pelumba Thailand, Peerapong Boonlert (18), Anggi Setiawan (18) dari Indonesia, Shota Ite (15), Jepun, Brandon Demmery (19), Australia dan Tomas Casas (17), Kanada.

Program selama lima hari itu memberi tumpuan terhadap kecergasan fizikal pelumba dan kawalan jentera termasuk latihan menggunakan jentera ‘dirt bike’ yang dianggap antara latihan terbaik untuk membantu meningkatkan kemahiran pelumba.

Pelumba akan menerima latihan dari Rossi sendiri bersama beberapa jurulatih akademi dan juara Flat Track Eropah, Marco Belli.

“Saya gembira dengan peluang yang diberikan ini dan turut berterima kasih kepada Hong Leong Yamaha dan pasukan saya, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor. Saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menimba seberapa banyak pengetahuan bagi meningkatkan prestasi saya pada masa akan datang,” jelas Akid.

Akid merupakan pelumba kedua negara yang terpilih menjalani latihan bersama juara dunia itu selepas juara kebangsaan kelas CP130, Kasma Daniel Kasmayudin pada tahun 2016.

 

Profil

Nama : Muhammad Akid Bin Aziz

Asal: Kuala Lumpur

Umur : 18 tahun

Pencapaian terbaik:

2016 - Juara keseluruhan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS

 

2017 - Pendahulu keseluruhan (selepas 2 pusingan) kategori CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS

2017 - Pendahulu keseluruhan (selepas 2 pusingan) kategori Underbone 150 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC)

, ,