fbpx

AKID SANDARAN MAJU MOTOR UNTUK BAWA PULANG EMPAT PIALA


Musim 2016 merupakan musim terbaik bagi pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor apabila mereka berpeluang untuk memenangi keempat-empat gelaran keseluruhan dalam kategori CP130 dan CP115 menjelang pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 di Taiping, Perak pada 19 dan 20 November ini.

Selepas mengesahkan gelaran sebagai juara berpasukan CP130 pada Pusingan 8 di Temeroh, mereka meneruskan kejayaan memenangi gelaran keseluruhan individu melalui pelumba muda sensasi, Kasma Daniel Kasmayuddin selain turut mengesahkan kedudukan sebagai juara berpasukan CP115 pada pusingan lepas di Jempol, Negeri Sembilan.

Pasukan ini bakal melengkapkan koleksi empat piala keseluruhan seandainya pelumba rookie, Mohd Akid Aziz yang juga merupakan pendahulu keseluruhan berjaya mengekalkan kedudukannya untuk membawa pulang gelaran juara keseluruhan kategori CP115 minggu ini.

akid-sandaran-maju-motor-menang-empat-gelaran

Selepas sembilan pusingan, Akid mendahului kedudukan dengan 126 mata termasuk lima kedudukan podium musim ini, berkelebihan 18 mata ke atas rakan sepasukan, Mohd Haziq Mohd Fairues dan juga Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) yang berkongsi 108 mata. Akid hanya perlu menamatkan perlumbaan di kalangan lapan pelumba terbaik bagi mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP115.

“Saya sedikit berdebar namun masih yakin untuk memberi aksi terbaik bagi menghadapi perlumbaan minggu ini. Jika berjaya, ini adalah kejuaraan pertama saya dan untuk memenangi gelaran, saya tidak perlu untuk muncul juara di Taiping. Dapat berada di antara lima pelumba terbaik sudah memadai, namun lebih manis jika dapat menaiki podium,” jelas Akid.

“Tekanan agak tinggi, ditambah pula tiada sebarang arahan daripada pasukan diantara saya dan Haziq. Namun ini bukan satu masalah kerana pasukan yakin dengan keupayaan saya untuk memenangi gelaran dengan usaha sendiri. Jika diimbas kembali, saya bukanlah pelumba pilihan pada awal musim 2016 tetapi kerja keras untuk memperbaiki kelemahan berjaya membantu saya untuk mencapai apa yang ada pada hari ini. Kini hanya satu perlumbaan yang menjadi pemisah diantara saya dan gelaran keseluruhan CP115. Mudah-mudahan semua berjalan lancar,” jelas Akid yang genap 18 tahun, 2 Disember ini.

, ,