fbpx

AFIF INGIN KEKAL KOMPETITIF

Ahmad Afif Amran menganggap ia satu cabaran baru baginya untuk mengimbangi antara komitmen keluarga dan kerjaya untuk kekal kompetitif

Walaupun kini bergelar sebagai seorang ayah, pelumba pasukan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing tetap bermotivasi malah Ahmad Afif Amran menganggap ia satu cabaran baru baginya untuk mengimbangi antara komitmen keluarga dan kerjaya untuk kekal kompetitif dalam kejuaraan.

“Cabaran saya pada musim ini adalah untuk mengimbangi masa dan tenaga untuk menguruskan komitmen antara keluarga dan kerjaya. Saya akan berusaha untuk beraksi dengan lebih kompetitif pada kejuaraan tahun ini,” kata Afif yang merasakan tanggunjawab sebagai seorang ayah mejadikan ia motivasi untuk beliau musim ini.

Juara berganda CP150 musim 2018 dan 2019 yang baru-baru ini menyambut kelahiran cahaya matanya yang pertama pastinya akan kembali meneruskan misi pemburuan kejuaraan CP150 buat kali ketiga. Tahun lalu Afif hampir melakukannya dan menduduki tempat kedua keseluruhan setelah berjaya melangkah ke podium sebanyak enam kali dari keseluruhan 10 perlumbaan dengan tiga kemenangan untuk menduduki tempat kedua keseluruhan.

“Tahun ini, kami agak bersedia dan seperti pasukan lain juga, pasukan kami mencari pengubahsuaian yang lebih sempurna dan bersesuaian dengan jentera dan pelumba. Kami juga ada buat sedikit perubahan pada jentera berdasarkan data yang telah diperolehi dari perlumbaan musim lalu.”

“Matlamat kami tahun ini adalah untuk mendapatkan kedudukan tiga terbaik keseluruhan dan berharap doa daripada peminat untuk menyokong terus tanpa henti untuk mencapai kedudukan terbaik setiap pusingan.” tambah Afif mengakhiri bicara.

Afif yang akan bergandingan dengan rakan sepasukan baharu, Izzat Zaidi selain Aiman dilihat mempunyai kelebihan untuk merangka strategi untuk merebut kejuaraan yang bakal bermula pada 12-13 Mac di Litar Sepang (Utara) bagi saingan Pusingan 1.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook