fbpx

AFFENDI ROSLI KEMBALI KE CUB PRIX


Selepas dua tahun ‘berehat’ daripada Cub Prix, pelumba veteran, Affendi Rosli kembali mewarani kejuaraan motosikal terhebat itu apabila beraksi pada saingan Pusingan 9 yang dijadualkan berlangsung di Litar Jempol, Negeri Sembilan hujung minggu ini.

Pelumba berusia 34 tahun itu bakal menggalas cabaran pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing pada aksi di Jempol itu nanti.

Dia akan bergandingan dengan Ahmad Afif Amran dalam kelas CP150 bagi menggantikan salah seorang pelumba dalam pasukan tersebut yang bakal bersaing dalam kelas CP115 dalam dua Pusingan terakhir Cub Prix musim ini.

Menurut Affendi, dia berasa terharu kerana dberi kepercayaan oleh pasukan tersebut untuk beraksi pada Pusingan 9 di Jempol nanti dan bertekad melakukan yang terbaik bagi membalas kepercayaan tersebut.

Selepas mendapat perkhabaran berkenaan, pelumba asal Selangor itu telah mula menjalani latihan sepanjang minggu ini bagi mendapatkan semula momentumnya di litar Cub Prix.

Dia mengakui, prestasinya telah menunjukkan peningkatan dan berharap dapat mengekalkan rentak cemerlang itu pada perlumbaan sebenar di Jempol nanti.

“Sejujurnya saya berasa terharu kerana diberi kepercayaan untuk kembali beraksi oleh pasukan elit seperti CKJ Racing. 

“Ia satu tanggungjawab yang besar dan saya akan bekerja keras bagi membalas kepercayaan mereka terhadap saya.

“Sejak mendapat lamaran tersebut, saya telah melalui beberapa sesi latihan sepanjang minggu ini dan alhamdulillah, ia semakin menunjukkan peningkatan,” jelas Affendi ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, dia memerlukan banyak latihan lagi bagi menyesuaikan diri dengan litar Cub Prix.

“Aksi di litar Cub Prix jauh berbeza berbanding litar kekal. Litar Cub Prix lebih teknikal dan memerlukan tahap kecergasan yang tinggi untuk mengharunginya. Saya akan mempergunakan sepenuhnya pengalaman yang ada pada saya untuk membantu pasukan merealisasikan misi mereka musim ini,” ujarnya lagi.

Meskipun dia tidak beraksi hampir dua tahun di Cub Prix, Affendi sebenarnya masih aktif dalam sukan permotoran.

Dia kini lebih banyak memberi fokus kepada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bersama pasukan One For All.

Sejak pembabitannya di Cub Prix pada tahun 2004, Affendi pernah bergelar juara keseluruhan kategori Novis pada musim 2007.

Jempol boleh dianggap antara litar kegemarannya kerana dia pernah muncul juara kelas CP130 di litar tersebut pada edisi 2014.

Dia berharap kecemerlangannya pada edisi 2014 itu berulang pada aksi Pusingan 9 hujung minggu ini.

Selepas selesai 8 pusingan setakat ini, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing berada dalam kedudukan selesa untuk memburu gelaran juara keseluruhan kategori pasukan musim ini selepas meraih 183 mata.

Pelumba pasukan tersebut, Afif Amran juga berada pada kedudukan teratas bagi kategori pelumba dengan 127 mata.

Mereka juga mengungguli kedudukan keseluruhan bagi kelas CP115.

, , ,