Debaran Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) pada hujung minggu ini bakal menyaksikan kelibat Nuzzul Ady Muhammad Sudin, beraksi tanpa tekanan kejuaraan. Namun, pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING itu menegaskan tiada istilah selesa dalam kamus kerjayanya apabila tetap dahagakan kemenangan podium di litar kebanggaan negara tersebut.
Ady mencetus impak luar biasa musim ini apabila berjaya mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan kategori WIRA 2026 seawal Pusingan 6 di LYL International Karting Circuit baru-baru ini. Pencapaian mengunci takhta lebih awal tatkala saingan masih berbaki dua pusingan nyata melakar lipatan sejarah peribadi yang sangat bermakna, memandangkan beliau baru sahaja melangkah ke musim kedua dalam kategori berkenaan.
Mengimbas kejayaan cemerlang itu, Ady menyifatkan pengorbanan, disiplin, dan sinergi pasukan sebagai tunjang utama yang melonjakkan prestasinya berbanding musim lalu. Walaupun pernah menempuh pelbagai ujian dan saat sukar untuk mencari keserasian pelarasan jentera mahupun konsistensi tunggangan, azam tinggi untuk bangkit daripada kesilapan lalu akhirnya membuahkan hasil yang manis.
Kini, tumpuan beralih ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) yang terkenal dengan karektar selekoh lebar serta laluan lurus panjang yang kerap menuntut ketelitian taktikal. Menjelang aksi hujung minggu ini, Ady dan tenaga kerja mekaniknya giat melakukan pelarasan khas jentera demi menguasai titik brek, kestabilan selekoh, dan cengkaman tayar di trek itu.
Bagi Ady, misi di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) bukan sekadar perlumbaan pelengkap jadual. Beliau bertekad memburu kedudukan podium tertinggi sambil memikul fokus baru iaitu membantu rakan sepasukannya, Ahmad Malek Ridha, demi mengesahkan penguasaan dominan 1-2 buat kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING dalam carta kejuaraan musim ini.
Ady berkata, “Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira dapat merealisasikan impian bergelar Juara Keseluruhan WIRA 2026 lebih awal daripada jangkaan. Kejayaan pada musim kedua ini amat bermakna dan saya dedikasikan buat seluruh tenaga kerja pasukan, pihak pengurusan, mekanik, keluarga, serta barisan penaja yang sentiasa meletakkan kepercayaan penuh ke atas kemampuan saya.”
“Walaupun gelaran juara sudah berada dalam genggaman, saya enggan terlalu selesa atau hilang fokus. Dahaga saya untuk memburu kemenangan di Sepang tetap sama seperti pusingan awal. Setiap perlumbaan adalah medan terbaik untuk memperkemas corak tunggangan dan menambah pengalaman. Berdasarkan pengalaman lalu di Sepang, cabaran utama adalah mencari ‘racing line’ yang tepat dan bijak menguruskan permulaan perlumbaan agar tidak terperangkap dalam kelompok belakang.”
“Sasaran utama saya hujung minggu ini adalah berdiri di podium utama. Pada masa sama, saya mahu bekerjasama rapat dengan pasukan bagi membantu rakan sepasukan, Malek. Jika kami dapat menyapu bersih posisi teratas di Sepang, ia sudah tentu menjadi kebanggaan terbesar buat seluruh kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING,” katanya lagi.

