fbpx

ADIB TERUJA UNTUK BERLUMBA DI KAMPUNG HALAMAN

Pusingan ketiga Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan melaungkan ketibaannya di Bandar Jasin Bestari pada hujung minggu ini. Md Adib Hareez Hazwat dari pasukan BAD LAB HONDA KC RACING bertekad untuk meneruskan perjuangannya dalam pencarian mata keseluruhan dalam kategori Wira KBS.

Pada musim lepas, pelumba yang berasal dari Melaka ini telah beraksi untuk pasukan HONDA AFB TECH RACING. Pencapaiannya secara keseluruhan tidak begitu memuaskan lebih-lebih lagi dengan status “DNF” dalam lima pusingan yang telah menggugat mata keseluruhannya. Namun begitu, musim ini telah bermula dengan nada yang positif apabila beliau tampil dengan aksi hebat di kedua-dua pusingan yang telah berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa dan Litar Seri Jempol.

Pelumba jentera jenis Honda ini jelas telah kembali dengan suatu perubahan yang baharu dan Adib kelihatan lebih yakin dengan pengendalian jenteranya. Beliau yang menduduki tempat kedua secara keseluruhan pada masa kini hanya kekurangan 3 mata daripada pelumba di tangga teratas. Pusingan yang bakal berlangsung di kampung halamannya mungkin akan memberikan Adib kelebihan untuk menguasai litar Jasin sekaligus membuka peluang untuk beliau menaiki carta keseluruhan.

Menurut Adib, “Pada pendapat saya, pusingan 1 dan 2 memang agak baik bukan setakat pencapaian tetapi lebih penting, saya berjaya menyesuaikan diri dengan jentera baru. Walau bagaimanapun, saya perlu lebihkan komunikasi dengan pasukan agar dapat berikan mereka lebih input mengenai jentera serta cara tunggangan saya. Saya suka jentera Honda kerana struktur badannya yang lebih lebar yang memberikan saya keselesaan semasa berlumba.”

“Bagi pusingan yang akan datang nanti, saya akan lebihkan fokus dan usaha. Persediaan saya adalah lebih kepada peningkatan stamina dan kecergasan mental. Pasukan saya telah memberikan 100% tumpuan kepada keperluan saya. Mereka juga sentiasa memberikan saya sokongan dari segi jentera dan tunjuk ajar. Pusingan ini juga akan berlangsung di kampung halaman saya jadi saya agak teruja setelah sekian lama tidak berlumba di sini. Sudah pasti saya akan memberikan saingan terbaik kepada pelumba-pelumba lain dan cuba mengutip mata untuk kekal di kedudukan atas.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook