Saingan Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) hari ini menyaksikan aksi sengit bagi kategori WIRA apabila pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING, Raja Abdurraqib Raja Norfatihah, mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menakluk takhta sesi Kelayakan.
Beraksi di litar berprestij ini, Abdurraqib mencipta sensasi apabila merakamkan masa terpantas 1’30.291s pada sesi penentuan. Catatan cemerlang tersebut meletakkan dirinya selesa di petak utama grid perlumbaan, meletakkan rakan sepasukannya, Nuzzul Ady Muhammad Sudin yang merupakan Juara Keseluruhan WIRA, di petak kedua dengan masa 1’32.291s. Kedudukan ketiga pula berjaya disambar oleh pelumba HONDA RS MEGATECH RACING TEAM, Md Aqil Ramadhan Idris yang memberikan tentangan hebat menerusi rekod masa 1’32.659s.
Terdahulu, corak persaingan pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING telah mendominasi litar sejak awal hari. Pada sesi Latihan Bebas 1, Abdurraqib gah mendahului carta dengan 1’22.310s, diekori sangat rapat oleh Ady pada 1’22.313s. Intensiti saingan bertambah rancak apabila Ady mendahului sesi Latihan Bebas 2 dengan 1’22.244s, memintas Abdurraqib yang mencatat 1’22.479s. Walau bagaimanapun, berbekalkan pengalaman dan kawalan jentera yang jitu pada sesi Kelayakan, Abdurraqib berjaya memuktamadkan penguasaan mutlak.
Turut mempamerkan tunggangan ampuh bagi melengkapkan kelompok lima terpantas kelayakan adalah Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM di kedudukan keempat dengan catatan 1’33.297s, dan Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING di tempat kelima pada 1’33.454s.
Abdurraqib berkongsi, “Syukur Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana berjaya merangkul petak pertama untuk pusingan kali ini. Kejayaan ini bukan milik saya seorang, sebaliknya saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli pasukan dan krew mekanik. Mereka tidak pernah berputus asa dan bekerja keras tanpa jemu bagi memastikan jentera saya berada pada tahap yang paling optimum.”
“Sejujurnya, pada sesi Kelayakan tadi, saya sendiri tidak menyangka mampu mencatatkan masa yang terpantas. Selepas mengharungi empat pusingan sebelum ini di mana saya bergelut dan berhempas pulas untuk mendapatkan kedudukan yang kompetitif, pencapaian hari ini benar-benar menyuntik kelegaan dan semangat. Namun, saya memang mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap litar ini. Ditambah pula dengan kelebihan saiz fizikal saya yang kecil, ia banyak membantu dari segi kelajuan dan kawalan jentera. Saya berasa sangat selesa di atas litar dan hanya tumpukan fikiran untuk beraksi sehabis baik,” tambahnya lagi.”
“Menjelang kemuncak esok, beliau berkata, “Untuk perlumbaan, sasaran utama saya pastinya menamatkan saingan di atas pentas podium. Saya sedar cabaran pasti sengit, tetapi tidak kira apa pun rintangan yang berlaku, saya sudah bersedia. Saya akan mengekalkan fokus, menunggang dengan konsisten, dan memberikan aksi yang terbaik demi membalas kepercayaan pasukan.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
1. RAJA ABDURRAQIB RAJA NORFATIHAH – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (1’30.291s)
2. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (1’32.291s)
3. MD AQIL RAMADHAN IDRIS – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (1’32.659s)
4. ADI PUTRA ANAHAR – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (1’33.297s)
5. MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (1’33.454s)

