KUALA LUMPUR, 17 Julai – Siapa agaknya yang bakal bergelar ‘wira’ bagi kategori Wira pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 yang akan berlangsung di Pontian, Johor hujung minggu ini.
Mampukah pendahulu keseluruhan ketika ini, Md Zaki Zamri mempertahankan mahkota ‘wira’ itu, atau bakal ada kejutan berlaku memandangkan semua pelumba masih ‘kabur’ tentang bentuk litar yang akan menjadi medan pertarungan mereka nanti.
Ini kerana, Pontian merupakan venue baharu dan semua pelumba masih belum dapat meramalkan bentuk litar yang bakal menjadi pentas aksi pusingan 4 itu hujung minggu ini.
Kategori Wira, antara perlumbaan paling seronok untuk disaksikan pada kejuaraan Cub Prix kerana ia merupakan medan buat barisan pelumba muda negara untuk mempamerkan bakat mereka sebelum dilamar oleh pasukan-pasukan elit untuk bersaing dalam kelas perdana pada masa akan datang.
Selepas mengharungi tiga pusingan, Md Zaki yang menggalas cabaran pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, nampaknya masih gagah mempertahankan gelaran ‘wira’ selepas mengungguli perlumbaan pada Pusingan 1 (Jasin, Melaka) dan Pusingan 3 di Tangkak, Johor.
Dia sekadar menghuni tempat keenam pada perlumbaan Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang, namun terus kukuh mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 60 mata, meninggalkan pencabar terdekatnya, Md Sharul Ezwan M Sharil (AFB TECH Racing) di tempat kedua dengan perbezaan 24 mata.
Md Zaki yang menunggang jentera Yamaha, boleh dikatakan sebagai calon terbaik untuk menguasai kelas Wira musim ini kerana prestasinya terus konsisten dalam setiap pusingan.
Begitupun, dia perlu tetap berhati-hati kerana pelumba Selangor seperti Sharul, Md Afizad Supaat (Selangor) mahupun Md Aliff Danial Asri dari Johor adalah antara pencabar yang mampu menggugat kedudukannya.
Aliff dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing pernah bergelar juara pada saingan Pusingan 2 di Batu Kawan namun kedudukannya dalam carta keseluruhan agak terjejas gaga-gara gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 3 di Tangkak.
Nasib Sharul juga serupa selepas gagal menamatkan perlumbaan di Tangkak dan keputusan tersebut telah memusnahkan impian mereka untuk terus memberi tekanan kepada Md Zaki.
Afizad pula yang mewakili pasukan Super KIP Motorsports telah memperlihatkan sengatnya pada Pusingan 1 apabila menduduki tempat kedua untuk mengumpul 20 mata.
Namun, rentaknya agak terganggu selepas itu apabila berdepan masalah mekanikal, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 2 dan 3.
Turut tampil konsisten adalah pelumba pasukan AFB TECH Racing, Daniel El Fahim Harris El Hadi dan juga Md Haziq Rosmaza (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) yang telah mempamerkan rentak cemerlang dalam tiga pusingan sebelum ini.
Bagi Md Zaki, perlumbaan di selatan tanah air nampaknya menjadi kegemarannya kerana telah menguasai dua saingan awal sebelum ini iaitu di Melaka dan Tangkak, Johor.
Minggu ini, dia bertekad untuk menakluk satu lagi litar di selatan tanah air iaitu Pontian.
Ia bukan perkara yang mustahil jika keadaan jenteranya terus stabil bersesuain dengan gaya tunggangannya yang sentiasa bijak menawan selekoh sukar.
Md Zaki juga enggan meletakkan sebarang sasaran keran masih belum mengetahui keadaan litar, namun misinya adalah untuk terus mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan.
Kelas Wira bakal menyaksikan persaingan melibatkan 32 pelumba dan apa yang pasti, 10 pelumbaan teratas akan sekali lagi menjadi tumpuan seperti yang berlaku dalam tiga pusingan awal sebelum ini.