FENOMENA EL NINO CABARAN BUAT PELUMBA

Cuaca panas yang melanda seluruh negara khususnya di utara tanah air dijangka tidak akan menjejaskan aksi pelumba bagi menghadapi Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, hujung minggu ini.

Bagaimanapun, dengan suhu litar yang tinggi berkemungkinan pelumba-pelumba menghadapi kesukaran untuk mengatasi catatan rekod litar.

Setakat minggu ini, tiga pusingan perlumbaan berlangsung dalam keadaan cuaca panas tidak menentu dengan suhu udara diantara 30 hingga 40 darjah celsius manakala suhu litar melebihi 55 darjah celsius.

Suhu panas ini bukan sahaja mengganggu aksi pelumba malah turut menjejaskan prestasi enjin.

“Kami perlu memastikan semua pelumba minum air secukupnya bagi mengelak masalah strok haba. Kami akan menyediakan bekalan ais untuk menyejukkan badan dan memastikan mereka kekal fokus,” jelas Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, pemilik pasukan Givi Honda Yuzy Racing.

Namun, selain penjagaan kesihatan pelumba, faktor enjin turut diberikan perhatian penting oleh Yuzy.

“Apabila suhu terlalu tinggi melebihi 40 darjah celsius, bayangkan berapa panasnya pula enjin motosikal. Dengan suhu yang tinggi, minyak pelincir enjin akan berubah dan akan menjejaskan prestasi enjin. Masalah serupa kami hadapi sewaktu di Batu Kawan ( Pusingan 2). Jurutera pasukan cuba menyelesaikan masalah ini sebelum perlumbaan akhir CP130 namun tidak berjaya untuk membantu Zaqhwan Zaidi dan pelumba pasukan kami yang lain untuk bersaing bersama pelumba di kelompok depan.”

Tempoh rehat dua minggu digunakan oleh pasukan GiVi Honda Yuzy Racing untuk memberi tumpuan ke arah meningkatkan prestasi enjin bagi menghadapi perlumbaan di Kangar.

“Keupayaan enjin merupakan kunci utama untuk memenangi perlumbaan. Walaupun pelumba mengadu masalah kurang cengkaman tayar akibat cuaca terlampau panas, namun semua pelumba lain pun mengalami masalah yang serupa. Tahun lepas Zaqhwan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Kangar. Jadi misi kami pada minggu ini untuk sekali lagi membantu Zaqhwan menamatkan perlumbaan di atas podium,” rumus Yuzy.