Saingan Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Bandar Medini Iskandar, Johor hari ini menyaksikan pelumba IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Md Khairi Asyraf Mahmood, mempamerkan tunggangan luar biasa untuk menakluk takhta sesi Kelayakan kategori CP125.
Meskipun berdepan sedikit masalah teknikal, Khairi kekal tenang dan agresif memerah kelajuan maksimum jenteranya untuk merakamkan masa terpantas 45.367s dengan kelajuan purata 91.414kph. Catatan cemerlang tersebut meletakkan beliau di kedudukan teratas, mengatasi pencabar terdekat dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Farid Hakimi Farid Sezli, yang berpuas hati di tempat kedua dengan masa 45.429s. Kedudukan ketiga pula berjaya disambar oleh Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM menerusi rekod 45.951s.
Turut mempamerkan asakan sengit bagi melengkapkan kelompok lima terpantas sesi penentuan itu ialah rakan sepasukan Idlan, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, di kedudukan keempat dengan masa 46.024s, diekori rapat oleh Emil Idzhar Ezuan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING di tempat kelima pada 46.040s.
Terdahulu, rentak saingan pada sesi latihan bebas berlangsung dalam suasana cukup kompetitif. Farid Hakimi membuka tirai dengan mengungguli Latihan Bebas 1 menerusi masa 45.984s, mengatasi Arash Tsunami Kamarudin yang mencatat 46.207s dan Khairi di tempat ketiga dengan 46.309s. Namun, momentum bertukar pada Latihan Bebas 2 apabila Khairi bangkit mendahului carta dengan 45.833s, diikuti Farish Iqmal pada 45.897s dan Farid Hakimi dengan catatan masa 46.151s, sekali gus menjadi pemangkin kejayaannya dalam sesi Kelayakan.
Khairi berkongsi, “Terima kasih kepada pasukan, mekanik, dan semua kru yang telah menyediakan jentera saya dengan baik hari ini. Walaupun terdapat sedikit masalah teknikal tadi, tidak mengapa kerana itu baru permulaan bagi saya. Esok masih ada sesi Shoot Out dan perlumbaan akhir, jadi saya akan cuba berikan yang lebih baik daripada hari ini.”
“Bagi saya, selekoh terakhir ini agak sempit. Namun, ia menjadi salah satu tempat untuk memperlahankan jentera supaya tidak terlalu laju ketika memasuki selekoh tersebut. Ia ada kelebihan dan kekurangannya. Jika berlaku saingan sengit di situ, mungkin akan agak sukar sedikit.”
“Apa-apa pun, kami fokus untuk mencari penyelesaian bagi menghadapi selekoh tersebut dan cuba mendapatkan keputusan terbaik dalam perlumbaan esok.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
1. MD KHAIRI ASYRAF MAHMOOD – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (45.367s)
2. MD FARID HAKIMI FARID SEZLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (45.429s)
3. MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (45.951s)
4. MD FARISH IQMAL KHAYRUL ELYAS – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (46.024s)
5. EMIL IDZHAR EZUAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (46.040s)

