IRFAN: JATUH DI SEPANG, BANGKIT DI SEPANG

Saingan Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) pada hari ini menyajikan penamat epik kelas CP150 apabila pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING, Md Irfan Haykhal Amidi, mencuri kemenangan menerusi strategi ‘slipstream’ yang cukup mendebarkan di laluan lurus terakhir.

Terdahulu, saingan bermula dengan kelebihan buat pemegang petak utama dari kem yang sama, Md Helmi Azman, selepas beliau cemerlang mencatat masa terpantas 1’20.016s pada sesi Super Pole. Sebaik sahaja perlumbaan dilepaskan, Helmi pantas meluru mendahului kelompok, diekori rapat oleh Md Muzakkir Mohamed dari VOGE RACING TEAM dan Ahmad Darwisy Ahmad Sahir dan HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING.

Sifat dinamik Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) menyaksikan persaingan sengit dengan kedudukan pendahulu bertukar tangan secara agresif hampir pada setiap pusingan. Aksi bertambah panas pada pertengahan perlumbaan apabila kelompok besar pelumba saling melancarkan asakan. Md Haziq Md Fairues dari IDEMITSU HONDA YAM RACING mencetuskan ancaman dengan mencetak masa pantas 1’18.938s pada pusingan kelima untuk memimpin perlumbaan seketika, sebelum asakan balas pantas tiba daripada Asyraff Zaquan Zainal Raif dan Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING.

Menjelang pusingan kesepuluh, intensiti perlumbaan memuncak. Md Akid Aziz dari VOGE RACING TEAM memanaskan litar dengan catatan terpantas 1’18.397s untuk naik ke kedudukan ketiga, disusuli pecutan 1’18.355s oleh Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR pada pusingan terakhir. Memasuki pusingan penentuan tersebut, Zaquan sedang mendahului, namun segalanya berubah menjelang saat-saat akhir.

Di laluan lurus menuju ke garisan penamat, Muzakkir dan Haziq sedang bertarung sengit bersebelahan bagi merebut takhta. Namun, berbekalkan ketenangan dan taktikal bijak, Irfan yang berada di kedudukan mengejar bertindak memerah kelajuan maksimum menerusi ‘slipstream’ untuk memintas kedua-dua pelumba tersebut serentak. Irfan melintasi garisan penamat untuk mengesahkan kemenangan keduanya musim ini dengan catatan masa 14’44.765s. Haziq terpaksa akur di tempat kedua pada 14’44.795s, diekori rapat Muzakkir di tempat ketiga dengan catatan masa 14’44.797s. Nazirul Izzat Md Bahauddin dan Azroy Hakeem Anuar masing-masing melengkapkan kedudukan lima terbaik pada 14’44.876s dan 14’44.902s.

Irfan meluahkan, “Syukur Alhamdulillah di atas kemenangan yang amat bermakna ini. Berjaya merangkul kejuaraan di Litar Sepang ini seakan-akan satu rezeki yang tidak ternilai, terutamanya selepas mengalami kecederaan patah kaki di litar yang sama ini. Kemenangan hari ini adalah titik penebusan buat diri saya selepas aksi yang agak mengecewakan di LYL International Karting Circuit pada pusingan yang lalu. Ketika di LYL, saya tidak dapat memacu jentera ke tahap maksimum kerana keadaan fizikal saya yang masih belum pulih sepenuhnya.”

“Untuk pusingan di Sepang ini, tahap pemulihan kaki saya menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Ia memberikan saya keyakinan untuk menunggang dengan lebih agresif dan memberikan saingan yang sebenar. Kejayaan ini pastinya mustahil tanpa usaha keras krew pasukan yang berjaya menyediakan pelarasan jentera yang sempurna untuk saya. Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa, adik-beradik, serta semua penyokong yang tidak pernah putus asa menyuntik semangat buat saya saat saya berada di bawah. Saya benar-benar bersyukur.”

TOP 5 FASTEST – RACE
1. MD IRFAN HAYKHAL AMIDI – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (14’44.765s)
2. MD HAZIQ MD FAIRUES – IDEITSU HONDA YAM RACING (14’44.795s)
3. MD MUZAKKIR MOHAMED – VOGE RACING TEAM (14’44.797s)
4. NAZIRUL IZZAT MD BAHAUDDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’44.876s)
5. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (14’44.902s)