Saingan Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) pada hari ini memperlihatkan aksi taktikal memukau bagi kategori CP125. Pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, Md Adie Putra Sukarno, melakar kejutan apabila percaturan beraninya menjadi untuk merampas takhta sesi Kelayakan.
Berdepan keadaan litar basah, Adie tampil bijak menyusun strategi peribadi. Beliau merekodkan kelajuan pantas secara konsisten untuk merakamkan catatan 1’29.141s pada sesi penentuan tersebut. Kejayaan ini meletakkan beliau di kedudukan teratas, meninggalkan Raiyan Khardanee M Sanusi dari IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM di tempat kedua dengan catatan 1’29.979s. Rakan sepasukan Adie, Md Adib Arsyad Mohd Hisam, mengukuhkan cengkaman pasukan dengan 1’30.253s di tempat ketiga.
Terdahulu, sesi latihan bebas berlangsung dalam rentak berbeza. Sesi Latihan Bebas 1 dikuasai oleh Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING dengan catatan masa 1’21.417s. Momentum berubah pada Latihan Bebas 2 apabila Emil Idzhar Ezuan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mendahului menerusi rekod 1’20.660s. Namun, laluan litar basah pada sesi Kelayakan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Adie untuk mengatasi kesemua seterunya.
Danial Johan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING yang mencatat 1’30.691s dan Arash Tsunami Kamarudin dari AHM IPONE RACING TEAM dengan masa 1’31.058s pula berjaya melengkapkan kedudukan lima terbaik sesi kelayakan itu.
Adie berkata, “Sebelum sesi bermula, saya telah memaklumkan kepada krew mekanik bahawa saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi untuk beraksi dalam keadaan litar basah. Ditambah pula dengan keserasian saya di litar ini, ia memberikan kelebihan dari segi mental dan rentak tunggangan. Sudah menjadi kebiasaan, setiap pelumba mempunyai kekuatan masing-masing bergantung kepada keadaan litar dan cuaca. Namun, strategi utama saya tadi adalah untuk keluar ke trek secara bersendirian. Saya sengaja mengelakkan diri daripada berada di dalam kelompok besar kerana jika saya berbuat demikian, pasti akan ada pelumba lain yang cuba mengekori untuk menumpang kelajuan saya.”
“Selepas mengharungi kira-kira lima pusingan, permukaan litar mula beransur kering. Saya dapat merasakan tahap cengkaman tayar menjadi semakin baik dan jentera terasa lebih stabil. Perubahan keadaan litar itu memberi ruang dan keyakinan kepada saya untuk mula memerah tenaga jentera dan meningkatkan kelajuan secara konsisten. Alhamdulillah, berkat strategi yang menjadi, rezeki memihak kepada saya untuk meraih catatan masa terpantas.”
“Menjelang hari esok, saya akan manfaatkan sesi Pemanas Badan dan Shoot Out sebaik mungkin untuk mempertajamkan lagi catatan masa dan menguji pelarasan akhir jentera. Saya bertekad untuk membuktikan kemampuan sebenar saya dan memberikan saingan yang maksimum pada perlumbaan.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
1. MD ADIE PUTRA SUKARNO – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (1’29.141s)
2. RAIYAN KHARDANEE M SANUSI – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (1’29.979s)
3. MD ADIB ARSYAD MOHD HISAM – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (1’30.253s)
4. DANIAL JOHAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (1’30.691s)
5. ARASH TSUNAMI KAMARUDIN – AHM IPONE RACING TEAM (1’31.058s)

