EMIL INCAR TAHTA DI SEPANG

Menjelang Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) pada hujung minggu ini, perhatian kian tertumpu kepada pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, Emil Idzhar Ezuan yang kini berada dalam momentum terbaik untuk memburu kemenangan sulung musim ini berbekalkan graf kebangkitan yang positif.

Laluan Emil pada awal musim nyata tidak mekar seindah yang diimpikan apabila sekadar mencatatkan ‘Did Not Finish’ (DNF) pada Pusingan 1. Bagaimanapun, anak muda yang kini beraksi di musim kedua kategori CP125 berkenaan mempamerkan ketabahan mental luar biasa dengan memperbaiki pencapaian secara konsisten dari pusingan ke pusingan, merangkul tempat ketujuh di Pusingan 2, kelima di Pusingan 4, sebelum melonjak megah ke tangga podium di tempat ketiga di Pusingan 5 dan naib juara (P2) di LYL International Karting Circuit pada Pusingan 6 baru-baru ini.

Memasuki tahun ketiga bersama pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, kekecewaan awal musim dijadikan azam untuk bangkit. Sandaran dan harapan tinggi yang diletakkan oleh pihak pengurusan pasukan kini menjadi pembakar semangat buat Emil untuk membuktikan potensi sebenar beliau di atas litar, terutamanya apabila saingan musim 2026 kini hanya berbaki dua pusingan sahaja.

Tumpuan Emil kini terarah sepenuhnya kepada cabaran di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan). Litar teknikal yang terkenal dengan laluan lurus panjang serta selekoh laju itu menuntut catur taktikal yang bijak, pengurusan berat badan yang optimum, serta keberanian fizikal dan mental untuk kekal bersaing di kelompok hadapan.

Emil berkata, “Alhamdulillah, kebangkitan ini adalah berkat kepercayaan jitu dan kerjasama mantap seluruh tenaga kerja pasukan. Mereka bertungkus-lumus menyediakan pelarasan jentera yang terbaik pada setiap pusingan, membolehkan saya memperkemaskan corak tunggangan. Hakikatnya, rasa pedih akibat kekalahan lalu mengajar saya untuk lebih berdisiplin, meningkatkan tahap latihan kecergasan, dan fokus memperbaiki kelemahan dari pusingan ke pusingan.”

“Mengenai pencapaian semasa, saya tidak mahu terlalu berpuas hati atau leka kerana cabaran belum selesai. Ini merupakan tahun ketiga saya bersama PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, dan saya tahu pasukan menetapkan harapan yang tinggi untuk melihat sejauh mana potensi sebenar saya. Justeru, memandangkan saya sudah meraih podium P3 dan P2, sasaran saya di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) ini tiada lain melainkan melebarkan graf peningkatan tersebut untuk menyambar posisi podium teratas (P1).”

“Beraksi di Litar Sepang (Selatan) memerlukan ketajaman minda untuk menyusun strategi perlumbaan yang bijak, terutamanya ketika melepasi laluan lurus. Walaupun perbezaan fizikal memberi sedikit cabaran berbanding pelumba lain, saya kini berusaha keras mengurangkan berat badan demi kelebihan kelajuan. Pada masa sama, saya sangat berkeyakinan tinggi dengan teknik tunggangan saya di selekoh berhaluan laju (rolling corners) di litar ini dan sedia memerah potensi maksimum jentera untuk memburu podium utama,” katanya lagi.