AZROY TAKLUK AKSI MALAM DI LYL

Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di LYL International Karting Circuit menyajikan aksi perlumbaan malam yang mendebarkan apabila pelumba HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar, mengharungi pertarungan sengit sebelum mengungguli takhta kelas CP150.

Bermula cemerlang dari petak utama hasil penguasaan sesi Shoot Out, Azroy terus meluru pantas mendahului perlumbaan. Beliau bijak mengawal saingan awal sambil diekori rapat rakan sepasukannya, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy, sebelum persaingan kelompok hadapan bertambah tegang apabila litar mula menuntut mangsa dengan insiden kejatuhan pemenang Pusingan 5, Md Helmi Azman dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING, seawal pusingan ketiga.

Kehangatan meletus pada pertengahan perlumbaan apabila seteru utamanya, Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, mencetak masa pantas 1’11.316s untuk merapatkan jurang. Kasma berjaya memintas Azroy pada pusingan ke-13, namun Azroy bertindak tangkas merampas kembali kedudukan pendahulu. Memasuki pusingan terakhir, ketika Kasma merapatkan jurang sehingga 0.200s, Azroy meningkatkan kelajuan jenterannya untuk melebarkan jurang kepada 2.311s sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan masa 19’14.971s.

Kasma terpaksa akur di tempat kedua menerusi masa 19’17.282s, manakala Md Haziq Md Fairues dari IDEMITSU HONDA YAM RACING melengkapkan podium di tempat ketiga dengan masa 19’23.347s. Tempat keempat menjadi milik Ahmad Darwisy Ahmad Sahir pada 19’24.995s yang bijak memintas Md Akid Aziz dari VOGE RACING TEAM di kedudukan kelima dengan catatan masa 19’25.033s.

Azroy berkongsi, “Syukur alhamdulillah dapat kembali berada di atas podium, lebih-lebih lagi selepas insiden di Pusingan 5. Saya dedikasikan kemenangan ini kepada keluarga arwah Farres. Pada awalnya saya bermula dengan agak gementar kerana tidak mahu insiden sama berulang, tetapi alhamdulillah saya dapat bermula dengan baik dan kekal konsisten.”

“Motosikal saya mengalami sedikit isu TPS (Throttle Position Sensor) yang menyebabkan penurunan kuasa. Keadaan itu membolehkan Kasma merapatkan jurang dan memintas, namun selepas saya memintas kembali, saya cuba melepaskan diri sebaik mungkin.”

“Perlumbaan pada waktu malam ini sangat mengujakan. Walaupun pancaran lampu kamera agak mencabar penglihatan dan suhu rendah menguji pelarasan jentera, pujian harus diberikan kepada pasukan yang telah melakukan tugas dengan sangat cemerlang kali ini.”



TOP 5 FASTEST – RACE

1. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (19’14.971s)

2. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (19’17.282s)

3. MD HAZIQ MD FAIRUES – IDEMITSU HONDA YAM RACING (19’23.347s)

4. AHMAD DARWISY AHMAD SAHIR – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (19’24.995s)

5. MD AKID AZIZ – VOGE RACING TEAM (19’25.033s)