Saingan Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di LYL International Karting Circuit pada hari ini menyajikan aksi mendebarkan kategori CP125 apabila pelumba IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Md Khairi Asyraf Mahmood, mempamerkan kebangkitan untuk menyambar takhta sesi Kelayakan.
Khairi muncul pelumba terpantas dengan merakamkan catatan masa berprestasi tinggi 1’13.586s pada sesi penentuan. Kejayaan cemerlang ini mengetepikan saingan sengit pencabar lain, sekali gus meletakkan dirinya di kedudukan selesa menjelang sesi Shoot Out bagi penentuan petak utama esok.
Persaingan berlangsung dengan intensiti tinggi tatkala pelumba terpaksa berdepan pelbagai cabaran faktor cuaca dan litar. Pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, memberikan asakan padu apabila berada di kedudukan kedua terpantas menerusi masa 1’13.707s. Manakala Emil Idzhar Ezuan dari kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING melengkapkan kelompok tiga terbaik dengan rekod masa 1’14.639s.
Terdahulu, corak persaingan pada sesi latihan awal dilihat agak sukar diramal. Khairi membuka tirai dengan garang apabila mendahului sesi Latihan Bebas 1 dengan catatan masa 1’24.671s sewaktu trek basah. Namun, giliran Farish pula menguasai sesi Latihan Bebas 2 pada sebelah malam dengan catatan 1’14.189s. Bagaimanapun, percaturan taktikal dan keazaman Khairi pada sesi Kelayakan membolehkan beliau merampas kembali kedudukan teratas.
Turut mempamerkan kelajuan yang ampuh untuk melengkapkan kelompok lima terpantas kelayakan adalah rakan sepasukan Khairi, Raiyan Khardanee M Sanusi di tempat keempat dengan catatan masa 1’14.671s, diekori rapat oleh pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Idlan Haqimi Raduan di kedudukan kelima pada 1’14.849s.
Khairi berkata, “Pada awalnya, saya agak bergelut untuk mencari pelarasan yang sesuai dalam keadaan hujan sewaktu sesi Latihan Bebas 1. Memasuki sesi Latihan Bebas 2 pada sebelah malam pula, cabarannya agak sukar buat saya kerana mempunyai masalah penglihatan disebabkan silau dan rabun.”
“Namun, pada sesi Kelayakan tadi, saya cuba kekal fokus pada ‘racing line’ untuk mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki. Alhamdulillah, saya berjaya mencatatkan masa terpantas. Pun begitu, bagi saya ini barulah permulaan kerana ini merupakan kali pertama saya beraksi pada waktu malam. Apa-apa pun, saya akan cuba mencari pelarasan baru esok serta berusaha memperkemaskan lagi catatan masa yang sedia ada.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
1. MD KHAIRI ASYRAF MAHMOOD – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (1’13.586s)
2. MD FARISH IQMAL KHAYRUL ELYAS – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (1’13.707s)
3. EMIL IDZHAR EZUAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (1’14.639s)
4. RAIYAN KHARDANEE M SANUSI – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (1’14.671s)
5. MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (1’14.849s)

