ADIE TAGIH MAGIS MALAM LYL

Pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, Md Adie Putra Sukarno, melangkah ke Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di LYL International Karting Circuit dengan penuh keyakinan dan keazaman tinggi selepas menamatkan kemarau kemenangan sulungnya dalam kelas CP125 pada pusingan lalu.

Kejayaan mendaki tangga teratas podium di Pusingan 5 bukan sahaja meleraikan penantian panjang Adie di pentas berprestij ini, malah membakar semangat seluruh pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR. Menjelang aksi bersejarah hujung minggu ini, yang menandakan penganjuran perlumbaan waktu malam sulung dalam kalendar Malaysian Cub Prix, Adie bertekad meneruskan momentum positif di litar LYL International Karting Circuit.

Mengimbau kembali kejayaan di Pusingan 5, Adie menyifatkan detik manis itu sebagai ganjaran paling bermakna selepas mengharungi pelbagai onak dan cabaran sepanjang musim.

“Alhamdulillah, penantian ini dirasakan cukup panjang kerana di setiap pusingan ada pelbagai rintangan serta ujian getir yang terpaksa saya tempuh demi memburu gelaran juara. Menggapai kedudukan P1 dalam kategori CP125 adalah pencapaian yang amat saya syukuri. Selepas hujan reda, akhirnya terbit pelangi buat kami sepasukan.”

“Kejayaan itu bukan sekadar satu trofi, tetapi membakar semangat saya untuk membuktikan keupayaan diri. Kini, beban psikologi telah bertukar menjadi motivasi besar untuk mengekalkan momentum dan konsistensi di kelompok hadapan.”

Melangkah ke Pusingan 6, cabaran baharu menanti Adie apabila perlu beraksi dalam perlumbaan malam di litar karting teknikal LYL. Ditambah sifat kelas CP125 yang terkenal dengan aksi rapat dan agresif, aspek ketahanan fizikal serta tahap penglihatan bakal diuji sepenuhnya.

“Berlumba pada waktu malam buat kali pertama dalam sejarah kejuaraan ini pasti menjadikan persaingan lebih sengit dan mendebarkan. Bagi saya, keutamaan adalah sentiasa memberikan komitmen maksimum untuk pasukan dan mengekalkan fokus tajam ke hadapan tanpa melakukan kesilapan mudah di litar sempit ini.”

Menyedari perlunya adaptasi pantas, Adie dan pasukannya telah menjalani persiapan khusus, termasuk sesi latihan simulasi malam bagi membiasakan koordinasi mata serta tindak balas jentera Yamaha Lagenda 115Z miliknya.

“Kami memang telah menjalani sesi latihan dan persiapan khas untuk menyesuaikan diri dengan suasana litar malam. Dari segi teknikal, suhu trek dan persekitaran yang lebih sejuk pasti mempengaruhi cengkaman tayar serta kepadatan udara enjin. Pasukan telah membuat persediaan lebih awal dan bersedia melakukan pelarasan sekiranya berlaku perubahan keadaan litar secara drastik.”

Menyentuh sasaran pasukan, pelumba kelahiran Melaka itu menegaskan fokusnya terarah kepada pemburuan mata optimum kejuaraan.

“Matlamat kami, jika jentera dan keadaan fizikal berada pada tahap optimum, sasaran pasukan adalah untuk kembali menaiki podium dan mengukuhkan kutipan mata kejuaraan keseluruhan.”