ADIE UKIR KEMENANGAN SULUNG

Pertarungan sengit hingga ke garisan penamat menobatkan Md Adie Putra Sukarno dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR sebagai juara perlumbaan akhir kategori CP125 sempena Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Permotoran Terengganu hari ini. Kemenangan sulung itu bertambah manis apabila rakan sepasukannya, Md Adib Arsyad Mohd Hisam merangkul tempat kedua, sekali gus mengesahkan penguasaan 1-2 buat kem mereka.

Apabila perlumbaan bermula, pemegang petak kedua, Emil Idzhar Ezuan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mempamerkan permulaan pantas untuk mendahului saingan, namun segera dipintas oleh Adib Hareez Hazwat dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING. Tidak menunggu lama, Adie yang bermula di petak ketiga mempamerkan taringnya dengan memintas kedua-dua pelumba untuk merampas kedudukan pertama seawal pusingan kedua. Berada di hadapan, Adie terus mengekalkan konsistensi cemerlang, termasuk merakamkan masa terpantas 51.125s pada pusingan ketiga.

Di belakang pendahulu, persaingan tiga penjuru yang cukup sengit tercetus antara Hareez, Adib, dan Emil. Adib yang bermula dari petak utama mempamerkan kebangkitan dengan merekodkan masa 50.959s pada pusingan kelima sebelum berjaya memintas Hareez. Rentak perlumbaan bertambah tegang apabila kedudukan kelompok kedua dan ketiga sentiasa bertukar tangan, sementara Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING yang mencetak masa 50.924s pada pusingan ke-10 turut memberi tekanan dari belakang.

Kemuncak meletus pada pusingan ke-13 apabila Emil bertindak cemerlang memintas Hareez dan Adib secara serentak, sebelum membuat kejutan merampas kedudukan pendahulu daripada Adie pada pusingan ke-14. Namun, Adie enggan menyerah kalah. Memasuki pusingan terakhir, beliau kembali memintas untuk berada di kedudukan teratas sambil bijak menutup segala ruang asakan daripada Adib yang turut berjaya mengatasi Emil.

Adie akhirnya melintasi garisan penamat selaku juara dengan jumlah masa 12’55.536s. Adib akur di tempat kedua dengan catatan 12’59.270s, manakala Emil melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga menerusi masa 12’59.343s.

Adie berkongsi, “Permulaan perlumbaan tadi sangat mendebarkan dan menguji ketahanan mental. Seperti yang dijangka, kesemua pelumba bertindak agresif dan berebut kedudukan sebaik sahaja menghampiri selekoh pertama. Keadaan di situ agak sesak dan berisiko tinggi untuk berlakunya insiden. Walau bagaimanapun, saya mengingatkan diri untuk kekal fokus, mencari ruang yang selamat, dan secepat mungkin melepaskan diri daripada kelompok tersebut.”

“Sebaik sahaja saya mendapat rentak dan ruang di hadapan, saya terus menekan jentera untuk mengekalkan kelebihan. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya hari ini. Kejayaan ini saya dedikasikan khas sebagai tanda terima kasih dan hadiah buat kedua-dua ibu bapa saya atas doa mereka yang tidak putus-putus. Tidak dilupakan, penghargaan tertinggi buat seluruh pasukan yang bertungkus-lumus menyediakan jentera terbaik untuk saya pada pusingan ini.”


TOP 5 FASTEST – RACE

  1. MD ADIE PUTRA SUKARNO – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (12’55.536s)
  2. MD ADIB ARSYAD MOHD HISAM – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (12’59.270s)
  3. EMIL IDZHAR EZUAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (12’59.343s)
  4. ADIB HAREEZ HAZWAT – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (12’59.702s)
  5. MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (13’03.735s)