HAREEZ KUASAI TAKHTA KELAYAKAN

Saingan Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Permotoran Terengganu hari ini menyajikan aksi sengit, pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING, Adib Hareez Hazwat, mempamerkan tunggangan agresif untuk muncul sebagai pencatat masa terpantas sesi Kelayakan bagi kategori CP125.

Tampil cemerlang menawan litar teknikal tersebut, Hareez melakar kejutan pada kemuncak sesi penentuan apabila merakamkan catatan masa terpantas 51.381s. Kejayaan merampas takhta Kelayakan ini berjaya mengetepikan barisan pencabar lain, sekali gus meletakkan dirinya di kedudukan selesa dan menyuntik kelebihan moral yang besar menjelang penentuan petak utama dalam sesi Shoot Out esok.

Persaingan di Litar Permotoran Terengganu nyata berlangsung dengan intensiti yang sangat tinggi. Kedudukan takhta catatan masa kerap bertukar tangan, dengan setiap pelumba memerah potensi maksimum jentera masing-masing. Emil Idzhar Ezuan dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING melakukan lonjakan dramatik untuk merampas kedudukan kedua terpantas menerusi catatan 51.409s. Beliau hanya dipisahkan dengan margin masa perpuluhan saat yang sangat tipis berbanding Hareez. Sementara itu, Arash Tsunami Kamarudin dari AHM IPONE RACING TEAM mengekalkan momentum positifnya untuk berada di kedudukan ketiga terpantas dengan rekod 51.424s.

Terdahulu, corak persaingan dilihat sangat terbuka dan sukar diramal tatkala sesi Latihan Bebas dikuasai oleh pelumba yang berbeza. Pada sebelah pagi, Md Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR membuka tirai dengan garang menerusi masa 51.803s di sesi Latihan Bebas 1. Rentak persaingan kemudiannya dihangatkan lagi oleh Arash Tsunami yang mendominasi sesi Latihan Bebas 2 dengan 51.456s. Bagaimanapun, percaturan taktikal dan pelarasan jentera yang tepat pada sesi Kelayakan membolehkan Adib memintas kesemua seterunya.

Turut mempamerkan kelajuan yang ampuh dan melengkapkan kelompok lima terpantas kelayakan adalah Md Adib Arsyad Mohd Hisam dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR di tempat keempat dengan 51.451s, diekori rapat oleh pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas di kedudukan kelima dengan 51.484s.

Hareez berkongsi, “Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan keputusan Kelayakan sebentar tadi. Rentak tunggangan saya sudah mula serasi sejak dari awal sesi lagi, membolehkan saya mengekalkan catatan masa yang pantas dan konsisten. Untuk pusingan kali ini, pujian harus diberikan kepada seluruh pasukan kerana mereka berjaya menemui pelarasan jentera yang cukup sempurna dan bersesuaian dengan litar.”

“Namun begitu, dalam persaingan sengit seperti ini, saya tidak boleh menganggap kedudukan sekarang sebagai satu zon selesa. Cabaran yang sebenar menanti pada hari esok, dan ia merupakan penentu kepada segala-galanya. Tumpuan utama saya kini beralih sepenuhnya kepada sesi Shoot Out. Saya sudah bersedia untuk memerah seluruh potensi jentera dan memberikan aksi seratus peratus untuk mengesahkan kedudukan grid di barisan hadapan menjelang perlumbaan.”



TOP 5 FASTEST – QUALIFYING

  1. ADIB HAREEZ HAZWAT – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (51.381s)
  2. EMIL IDZHAR EZUAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (51.409s)
  3. ARASH TSUNAMI KAMARUDIN – AHM IPONE RACING TEAM (51.424s)
  4. MD ADIB ARSYAD MOHD HISAM – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (51.451s)
  5. MD FARISH IQMAL KHAYRUL ELYAS – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (51.484s)