API SCK KEMBALI MENYALA

Lima tahun bukanlah satu tempoh yang singkat dalam dunia sukan permotoran. Bagi pasukan legenda, TAB SPORTS SCK HONDA RACING, penantian tanpa sebarang gelaran juara sejak tahun 2020 adalah satu fasa kemarau panjang yang menguji kesabaran, kesetiaan, dan ketahanan mental setiap ahli pasukannya. Di bawah pimpinan pemilik pasukan yang berjiwa kental, Soong Chee Keong atau lebih mesra disapa Pak Keong, pasukan ini terus bertahan meredah badai kekecewaan tanpa pernah mengenal erti putus asa. Kesabaran dan air mata perjuangan itu akhirnya terbayar lunas di bumi Pulau Pinang baru-baru ini apabila pelumba muda mereka, Md Irfan Haykhal Amidi, menghadiahkan kemenangan sulung kelas elit CP150, sekali gus menghidupkan semula nadi juara pasukan ini menjelang Pusingan 5 di Litar Permotoran Terengganu pada 28 dan 29 Ogos ini.

Menyifatkan kejayaan di Pusingan 4 itu sebagai satu kelegaan yang amat mendalam, Pak Keong mengakui pasukannya telah melalui pelbagai cabaran kritikal dalam mengekalkan motivasi kru dan mekanik. “Sudah tentu perasaan saya sangat gembira. Dalam tempoh penantian yang panjang ini, cara kami menguruskan pasukan mungkin masih belum begitu sempurna dan sentiasa ada ruang yang perlu diperbaiki. Tetapi pasukan ini tidak pernah berhenti melangkah atau mencari jalan penyelesaian. Sejak saya menjadi pelumba pada era 90-an sehingga kini bergelar pemilik pasukan, perkataan putus asa tidak pernah wujud dalam kamus hidup saya. Kalau betul-betul mahu menyerah kalah, sudah lama saya tinggalkan dunia ini.”

Kemenangan dramatik yang memecahkan ‘badi’ lima tahun itu nyata mencetuskan fenomena dalaman buat kem SCK. Kejayaan Irfan menewaskan nama-nama besar di litar membuktikan bahawa pelaburan kesabaran pasukan terhadap bakat muda mula membuahkan hasil. “Mulai tahun ini, prestasi Irfan semakin stabil. Apa yang membuatkan saya benar-benar terkejut dan bangga ialah keberanian mentalnya memotong pelumba hebat seperti Kasma dan Azroy pada dua pusingan terakhir,” tambah Pak Keong. Beliau menegaskan bahawa kemenangan ini bukan magis jentera semata-mata, tetapi hasil komunikasi padu antara pelumba dan juruteknik. “Selagi pelumba itu sendiri tidak berputus asa di atas litar, pasukan juga tidak akan sesekali berputus asa terhadapnya.”

Lebih daripada sekadar kemenangan, piala tersebut kini menjadi pencetus revolusi dan penanda aras baharu buat pelumba-pelumba lain di bawah bumbung SCK. Pak Keong melihatnya sebagai satu suntikan motivasi terbaik buat keseluruhan kem. “Sekarang Irfan sudah buktikan dia mampu meraih tempat pertama. Ini secara tidak langsung mendesak pelumba kami yang lain untuk bertanya kepada diri sendiri – kenapa Irfan boleh menang, tetapi mereka tidak? Asas pelarasan dan jentera yang digunakan adalah sama, jadi ini adalah masa untuk mereka turut bangkit dan meningkatkan tahap tunggangan masing-masing.”

Kini, tumpuan pasukan beralih sepenuhnya ke Litar Permotoran Terengganu hujung minggu ini. Menyedari kemanisan di Pusingan 4 boleh melekakan, Pak Keong pantas menyedarkan pasukannya untuk segera menetapkan semula minda. Litar Pantai Timur itu menuntut persiapan teknikal yang berbeza, manakala tekanan kini beralih ke bahu Irfan yang pastinya menjadi buruan utama pelumba elit lain. “Kita hadapi tekanan ini secara natural. Litar Permotoran Terengganu mempunyai cabaran tersendiri dan pelumba-pelumba lain ada kelebihan di sana. Tanggungjawab kami kini adalah memastikan jentera ditala pada tahap paling optimum. Jika Irfan mampu mengekalkan fokus dan melakar keputusan cemerlang sekali lagi di sana, sudah tentu amaran kebangkitan sebenar SCK akan bergema lebih kuat di seluruh litar.”