FAIRIL TERPANTAS, MILIKI PETAK PERTAMA

Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING muncul sebagai tumpuan utama apabila mencatat masa terpantas bagi kategori WIRA untuk meraih petak utama menjelang Perlumbaan Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Fairil melakar catatan 48.179s dalam sesi Kelayakan, sekali gus menewaskan kelompok pencabar rapat yang hanya dipisahkan dalam margin kecil. Kejayaan ini hadir selepas satu hari aksi yang penuh cabaran, termasuk isu teknikal pada sesi awal sebelum bangkit pada saat paling penting.

Sejak sesi Latihan Bebas 1, Fairil menunjukkan potensi dengan mencatat 48.808s untuk berada di tangga teratas kumpulan, sebelum jatuh ke P2 dalam Latihan Bebas 2 di belakang Nuzzul Ady Muhammad Sudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING yang mencatat 48.263s. Namun, pelumba muda itu kembali mengatur langkah kemas pada sesi Kelayakan untuk merampas kedudukan teratas.

Konsistensi turut ditunjukkan oleh Md Darwish Amsyar M Ridzwan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM yang menamatkan sesi Kelayakan di tempat kedua dengan 48.204s, hanya 0.025s di belakang Fairil. Darwish sebelum itu turut menampilkan prestasi stabil sepanjang sesi Latihan Bebas dengan berada dalam kelompok tiga terpantas.

Raja Abdurraqib Raja Norfatihah dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING pula melengkapkan kelompok tiga terpantas dengan catatan 48.366s, hasil peningkatan ketara selepas tidak berada dalam lima terbaik pada sesi Latihan Bebas.

Md Aqil Ramadhan Idris dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM menamatkan sesi di tempat keempat dengan 48.429s, diikuti Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING yang melengkapkan kelompok lima terpantas dengan 48.468s, menjadikan saingan lima terbaik hanya dipisahkan kurang daripada tiga persepuluh saat.

Fairil berkata, “Saya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras tanpa henti. Perancangan kami pada awalnya adalah untuk keluar bersama rakan sepasukan, tetapi saya menghadapi masalah brek dan terpaksa kembali ke paddock. Selepas diperbaiki, saya keluar semula secara berseorangan dan jujurnya tidak menjangka akan menjadi pelumba terpantas hari ini. Alhamdulillah, ini semua hasil kerja keras pasukan,” katanya.

TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
1. MD FAIRIL HAZMI FARID SEZLI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (48.179s)
2. MD DARWISH AMSYAR M RIDZWAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (48.204s)
3. RAJA ABDURRAQIB RAJA NORFATIHAH – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (48.366s)
4. MD AQIL RAMADHAN IDRIS – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (48.429s)
5. MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (48.468s)