Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 bagi kategori CP125 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) berlangsung hari ini dengan perlumbaan akhir menyaksikan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING meraikan kejayaan berganda.
Bermula dari petak utama selepas mencatat masa terpantas sesi Shoot Out 1’23.837s, Syamil tidak mensia-siakan kelebihan grid apabila melakukan permulaan kemas untuk mengetuai perlumbaan, diikuti rapat oleh rakan sepasukan Md Farid Hakimi Farid Sezli, manakala Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM mengisi kedudukan ketiga.
Seawal lap kedua, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING mula menunjukkan dominasi apabila Syamil dan Farid kekal mendahului kelompok, namun tekanan daripada pencabar semakin meningkat dengan Idlan kekal rapat di kedudukan ketiga, diikuti Ahmad Jebat Zulkarnain dari MBI SELANGOR MOTTOROY XLA.
Persaingan semakin terbuka pada lap ketiga apabila Syamil terus mengetuai, namun rakan sepasukan Idlan, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas mula naik ke kelompok hadapan, menjadikan pertarungan lebih sengit di kelompok empat teratas. Tidak lama selepas itu, Arash Tsunami Kamarudin dari AHM IPONE RACING TEAM turut menyertai perebutan podium, menjadikan saingan semakin padat.
Lap kelima menyaksikan perubahan besar apabila Farid mengambil alih kedudukan pendahulu, diikuti Emil Idzhar Ezuan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, manakala Syamil merosot ke tempat ketiga dan Adie Putra Sukarno turut berada dalam kelompok empat terbaik. Ketika itu, strategi perlumbaan mula memainkan peranan penting apabila kumpulan hadapan mula kekal rapat dalam jarak kurang satu saat.
Namun, Syamil kembali menunjukkan ketenangan luar biasa pada lap seterusnya apabila beliau bersama Idlan dan Arash kembali mengejar kelompok depan, dengan tekanan semakin memuncak ketika perlumbaan memasuki fasa akhir. Lap ketujuh menyaksikan Syamil kembali mendahului, diikuti rapat Farid dan Arash.
Detik mendebarkan pada lap terakhir apabila Farid sempat mendahului semula, diikuti Syamil, Adie, Arash dan Idlan dalam kedudukan lima terbaik ketika itu, menjadikan perebutan kemenangan terbuka luas sehingga ke garisan penamat.
Syamil akhirnya melintasi garisan penamat terlebih dahulu dengan catatan masa 11’23.462s, hanya 0.034s di hadapan Farid yang mencatat 11’23.496s dalam keputusan yang sangat rapat. Adie menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 11’24.045s, diikuti Arash dan Idlan dalam kelompok lima terbaik.
Bagaimanapun, keputusan akhir berubah selepas Adie Putra Sukarno diberikan penalti turun 2 posisi kerana melakukan aksi memintas di Bawah bendera kuning. Penalti tersebut menyaksikan Adie turun ke tempat kelima, manakala Arash Tsunami Kamarudin dinaikkan ke podium ketiga.
Syamil berkongsi, “Terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan yang telah bekerja keras tanpa henti untuk memastikan kami mampu berada di atas podium hari ini. Segala usaha, pengorbanan dan kerja berpasukan benar-benar memberi makna besar kepada pencapaian ini. Perlumbaan tadi memang telah dirancang dengan teliti. Kami tahu jentera kami mempunyai kelebihan untuk mengetuai kumpulan, dan itu menjadi kunci strategi kami. Saya dan Farid berbincang dari awal dan kami berpegang kepada perancangan itu walaupun tekanan sangat sengit. Alhamdulillah, semuanya membuahkan hasil.”
TOP 5 FASTEST – FINAL RACE
- MD SYAMIL AMSYAR M IFFENDE – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (11’23.462s)
- MD FARID HAKIMI FARID SEZLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (11’23.496s)
- ARASH TSUNAMI KAMARUDIN – AHM IPONE RACING TEAM (11’24.081s)
- MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (11’24.106s)
- MD ADIE PUTRA SUKARNO – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (11’24.045s)

