AFIQ TAWAN WIRA DI SEPANG

Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 kategori WIRA di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) menyajikan perlumbaan penuh debaran apabila perebutan kemenangan berlangsung sengit hingga ke garisan penamat, sebelum Md Afiq Syazanie Muhd Zaini dari MBI SELANGOR MOTTOROY XLA muncul pemenang dengan kelebihan amat tipis dalam aksi yang cukup mendebarkan.

Perlumbaan bermula dengan Ahmad Malek Ridha dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING mempamerkan pelancaran cemerlang untuk mendahului saingan, diikuti rapat rakan sepasukannya, Nuzzul Ady Muhammad Sudin, manakala Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING dan Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM turut berada dalam kelompok hadapan.

Namun, rentak perlumbaan berubah seawal lap kedua apabila Fairil berjaya merampas kedudukan pendahulu, sementara Md Darwish Amsyar M Ridzwan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM melonjak ke posisi kedua. Malek terus memberi tekanan di tempat ketiga diikuti Ady yang kekal memburu peluang di kelompok hadapan.

Drama terus memuncak pada lap ketiga apabila Malek kembali mengetuai perlumbaan, tetapi perhatian turut terarah kepada rakan sepasukannya, Danish Rifqi Yusnizam, yang mencatat masa terpantas 1’25.891s untuk melonjak ke kedudukan ketiga sebelum impiannya terpaksa dilupakan selepas terjatuh ketika sedang memberi tekanan kepada kelompok pendahulu.

Persaingan terus bertukar tangan pada lap keempat dengan Fairil kembali di hadapan, sementara Afiq mula menunjukkan taring apabila memintas beberapa pelumba untuk naik ke kedudukan kedua. Raja Abdurraqib Raja Norfatihah dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING pula muncul pencabar baru di kelompok depan.

Lap kelima menyaksikan Fairil semakin agresif apabila mencatat masa terpantas perlumbaan 1’25.479s untuk terus mengetuai saingan, namun kedudukan mula berubah drastik pada lap keenam apabila jentera Abdurraqib mengalami masalah teknikal, sekali gus memaksanya melupakan perebutan podium.

Ketika itu, Afiq mula menguasai perlumbaan dengan Ady mengekori rapat di belakang, manakala Fairil dan Malek terus mengekalkan tekanan dalam kelompok utama. Pada lap terakhir apabila Ady sempat mendahului saingan, namun Afiq tampil tenang dan bijak mengatur strategi sebelum melakukan serangan balas tepat pada masanya.

Penamat perlumbaan menyaksikan Afiq berjaya melintasi garisan penamat terlebih dahulu dengan catatan 10’12.620s, hanya 0.061s di hadapan Ady yang meraih tempat kedua menerusi catatan 10’12.681s. Seorang lagi pelumba MBI SELANGOR MOTTOROY XLA, Md Ali Imran Mohd Dzul Hijri, melengkapkan podium di tempat ketiga dengan masa 10’12.772s, sekadar 0.152s di belakang pemenang.

Afiq berkongsi, “Pada perlumbaan tadi, persaingan memang sangat sengit, lebih-lebih lagi untuk kekal berada di kelompok hadapan kerana semua pelumba tampil cukup kompetitif. Namun, saya cuba memberikan yang terbaik dan berjuang sehabis upaya dari awal hingga ke garisan penamat. Alhamdulillah, segala usaha akhirnya membuahkan hasil apabila saya berjaya meraih kemenangan hari ini. Kemenangan ini sangat bermakna buat saya kerana ia bukan datang dengan mudah. Saya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan yang bekerja keras menyediakan jentera terbaik, keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang saya, serta semua penyokong yang tidak pernah berhenti memberi semangat dan percaya kepada saya walau dalam apa jua keadaan. Sokongan mereka benar-benar memberi motivasi untuk saya terus berjuang dan memberikan yang terbaik di atas litar.”

TOP 5 FASTEST – FINAL RACE

  1. MD AFIQ SYAZANIE MUHD ZAINI – MBI SELANGOR MOTTOROY XLA (10’12.620s)
  2. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (10’12.681s)
  3. MD ALI IMRAN MOHD DZUL HIJRI – MBI SELANGOR MOTTOROY XLA (10’12.772s)
  4. MD DARWISH AMSYAR M RIDZWAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (10’13.182s)
  5. MD AIREL AHMAD MARZUKI – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (10’13.265s)