AIREL BIDIK PODIUM DI SEPANG

Walaupun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat, aksi dipamerkan oleh Md Airel Ahmad Marzuki daripada HONDA RS MEGATECH RACING TEAM pada Pusingan 1 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 membuktikan bahawa beliau bukan sekadar pelumba yang mampu bersaing di kelompok hadapan, malah mempunyai mentaliti berpasukan yang cukup tinggi.

Sepanjang perlumbaan, Airel tampil cemerlang apabila sentiasa berada dalam kelompok hadapan dan berjuang sengit memburu kedudukan podium. Dalam masa sama, beliau turut memainkan peranan penting membuka ruang buat rakan sepasukan, Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam, untuk berada di hadapan sebelum Akid akhirnya berjaya muncul pemenang.

Bagi Airel, meskipun prestasi keseluruhan dianggap positif, beliau percaya masih banyak aspek yang perlu dipelajari untuk terus berkembang sebagai pelumba.

“Untuk Pusingan 1 tempoh hari, bagi saya masih banyak perkara yang perlu saya pelajari ketika berada dalam perlumbaan, terutama apabila bersaing sengit dalam kelompok hadapan,” katanya.

Menyentuh mengenai situasi perlumbaan yang dilihat seolah-olah membantu Akid mara ke hadapan, Airel menjelaskan tiada arahan pasukan dikeluarkan sepanjang perlumbaan.

“Tiada arahan pasukan untuk Pusingan 1 ini. Ketika saya bergelut dalam kelompok podium, Akid menggunakan pengalaman yang dimilikinya dengan sangat baik untuk mendapatkan kemenangan,” jelasnya.

Namun, di sebalik kejayaan pasukan meraih kemenangan, Airel mengakui dirinya sedikit kecewa apabila terlepas peluang berada di podium selepas sempat berada di kedudukan kedua ketika dua selekoh terakhir.

“Sejujurnya, saya agak kecewa kerana terpaksa menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas berada di P2 ketika dua selekoh terakhir. Tetapi pengalaman ini mengajar saya sesuatu yang baharu dalam perlumbaan,” katanya.

Walaupun kecewa, semangat yang diberikan pasukan berjaya menenangkan dirinya.

“Pada mulanya saya sangat kecewa kerana terlepas peluang menghadiahkan keputusan satu-dua buat pasukan. Tetapi selepas diberikan semangat oleh pasukan, saya menjadi lebih tenang dan pasti akan memberikan yang lebih baik selepas ini.”

Kini, menjelang Pusingan 2 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara), keyakinan Airel semakin tinggi.

“Sudah pasti saya yakin untuk berada di podium selepas ini. Sasaran saya adalah untuk memburu kemenangan demi pasukan dan juga diri sendiri, tetapi saya masih perlu terus belajar apabila bersaing sengit dengan pelumba lain,” katanya.