AKID BUKTIKAN TAHAP SEBENAR

Perlumbaan kategori WIRA di pembuka musim Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Lumba Tangkak, Johor menyajikan pertarungan mendebarkan apabila Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM mempamerkan tunggangan matang untuk meraih kemenangan sulung musim ini dalam perlumbaan yang penuh drama hingga ke selekoh terakhir.

Memulakan perlumbaan dari petak kedua, Akid pantas menyambar kedudukan pendahulu sebaik lampu padam, dengan rakan sepasukan Md Airel Ahmad Marzuki mengekor rapat di belakang. Namun, pelumba tunggal Yamaha di kelompok hadapan, Nuzzul Ady Muhammad Sudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING, tidak menunggu lama apabila bijak menyelit ke posisi kedua sebelum mengambil alih pendahuluan beberapa selekoh kemudian.

Menjelang lap keempat, Ady menjadi satu-satunya pencabar Yamaha yang dikejar empat jentera Honda di belakang, dengan Akid mencatat masa terpantas perlumbaan 45.771s untuk terus merapatkan jurang.

Pada lap kesembilan, Airel berjaya memintas Ady, namun Akid segera mengambil peluang sama untuk menyelinap ke hadapan, menyaksikan dua pelumba HONDA RS MEGATECH RACING TEAM cuba menguasai perlumbaan.

Walaupun diasak tanpa henti, Ady enggan mengalah dan terus memberikan tentangan sengit, terutamanya dalam pertarungan roda ke roda bersama Airel yang berlarutan hampir di setiap selekoh. Dalam kekecohan itu, Akid berjaya meloloskan diri daripada perebutan tersebut dan mula membina kelebihan selesa di hadapan.

Akid akhirnya melintasi garisan penamat sebagai pemenang dengan catatan 9’19.037s, tetapi drama sebenar tercetus di belakang apabila perebutan podium diputuskan di selekoh terakhir. Airel pada mulanya dilihat berjaya merampas kedudukan kedua daripada Ady, namun pelumba Yamaha itu memecut habis-habisan di laluan keluar untuk kembali merampas posisi tersebut. Pada masa sama, Adi turut mengambil kesempatan menyelinap melepasi Airel untuk meraih tempat ketiga, sekali gus menafikan podium satu-dua dikuasai sepenuhnya oleh HONDA RS MEGATECH RACING TEAM.

Akid berkata, “Sejak awal perlumbaan saya cuba memberikan yang terbaik. Saya cuba mengekalkan kelajuan dan konsisten dalam setiap pusingan, tetapi saya sedar saya ada melakukan beberapa kesilapan di selekoh ketiga yang menyebabkan saya jatuh ke kedudukan keempat. Ketika itu saya cuba tenangkan diri dan saya teringat semula pesanan jurulatih supaya jangan panik, sebaliknya ambil semula satu demi satu. Saya cuba susun semula rentak saya dan alhamdulillah saya berjaya kembali ke hadapan. Pada masa sama, saya juga rasa sedikit sedih untuk Airel kerana dia banyak membantu saya untuk berada di kelompok depan. Saya sangat berterima kasih kepada dia kerana banyak memberi sokongan sepanjang perlumbaan. Kami memang mahu menghadiahkan kedudukan satu-dua buat pasukan, tetapi hasrat itu belum tercapai hari ini. Insyaallah kami akan cuba lagi pada Pusingan 2 nanti.”

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (9’19.037s)
  2. Nuzzul Ady Muhammad Sudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (9’21.111s)
  3. Adi Putra Anahar – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (9’21.178s)
  4. Md Airel Ahmad Marzuki – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (9’21.231s)
  5. Md Darwish Amsyar M Ridzwan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (9’24.271s)