Walaupun Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix musim 2026 masih belum bermula dan kalendar rasmi belum diumumkan, pasukan JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM telah mengambil langkah awal dengan memulakan sesi latihan pra-musim pada awal Januari di Litar Lumba Tangkak, Johor. Pendekatan proaktif ini mencerminkan kesungguhan pasukan dalam menghadapi musim yang dijangka mencabar, khususnya dengan perubahan besar dari segi peraturan teknikal.
Menurut penyelaras pasukan, Gary Pang, fokus utama latihan awal ini adalah untuk memastikan pasukan tidak ketinggalan dari segi persiapan jentera dan pelumba.
“Untuk musim 2026, terdapat perubahan besar dari segi peraturan. Jadi fokus kami ketika ini adalah untuk menguji jentera baharu, pembangunan enjin, menilai bakat pelumba baharu, serta memberi latihan kepada pelumba sedia ada supaya mereka dapat menyesuaikan diri lebih awal.”
Gary turut menjelaskan bahawa latihan pra-musim ini bukan sekadar sesi pemanas badan, sebaliknya platform penting untuk penilaian menyeluruh.
“Antara perkara utama yang dititikberatkan dalam latihan pra-musim ini adalah ujian enjin baharu, penyesuaian pelumba dengan jentera, tahap ketahanan fizikal pelumba, serta proses pemilihan pelumba baharu.”
Berbanding musim lalu, pendekatan pasukan kali ini lebih tertumpu kepada aspek teknikal, selari dengan perubahan regulasi yang signifikan.
“Berbanding musim lalu, pendekatan persiapan pasukan musim ini berbeza kerana perubahan peraturan yang sangat besar. Oleh itu, pasukan memberi fokus yang tinggi kepada penyelidikan dan pembangunan enjin.”
Dalam masa sama, kualiti pelumba turut menjadi keutamaan sepanjang tempoh persiapan ini.
“Kami juga menitikberatkan konsistensi pelumba, keupayaan memberi maklum balas yang jelas dan tepat kerana kami sedang membangunkan enjin baharu dan amat memerlukan pandangan pelumba. Pada masa yang sama, pelumba juga perlu mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.”
Gary mengakui masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum musim bermula.
“Buat masa ini, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi pembangunan enjin kerana peraturan belum ditetapkan sepenuhnya. Oleh itu, masih banyak perubahan yang mungkin berlaku.”
Mengulas mengenai prestasi pelumba setakat ini, Gary berkata, “Untuk menilai prestasi pelumba, masih terlalu awal buat masa ini. Namun secara keseluruhan, pelumba menunjukkan prestasi yang baik walaupun baru sahaja berehat hampir sebulan.”

