KASMA MENANG, AFIF JUARA

Perlumbaan CP150 pada Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan berlangsung penuh aksi apabila Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mengungguli perlumbaan, namun Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan musim 2025.

Sebaik perlumbaan bermula, Afif mendahului diikuti rapat oleh Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING, sementara Kasma dan Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR serta Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS membentuk kelompok lima terbaik.

Memasuki pusingan ke-4, Azroy mencatat masa terpantas 44.706s dan merapatkan jarak dengan Afif kepada 0.281s. Walau bagaimanapun, Afif menunggang dengan konsisten di kedudukan pertama, menyukarkan usaha pelumba lain untuk memintasnya. Persaingan sengit tercetus antara Afif, Azroy dan Kasma, yang berjaya mencipta jurang lebih dua saat dengan kelompok kedua.

Afif yang berpengalaman terus mengekalkan fokus, meninggalkan Azroy semakin jauh dan menghalang sebarang ruang untuk dipintas. Kasma kemudian mengambil langkah berani memintas Azroy untuk menduduki tempat kedua, cuba mengejar Afif dengan penuh determinasi.

Namun, nasib kurang menyebelahi Afif apabila beliau terjatuh pada dua pusingan terakhir, membolehkan Kasma dan Azroy memintasnya. Afif segera bangkit semula, menunggang dengan pantas dan sempat memintas Nazirul untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4.

Kasma akhirnya menamatkan perlumbaan sebagai pemenang dengan catatan masa 15’00.230s, diikuti Azroy di tempat kedua pada 15’01.350s, manakala Faiz mengisi podium ketiga dengan 15’06.683s.

Kasma berkongsi, “Saya rasa hampir semua pelumba menghadapi masalah cengkaman tayar yang cepat habis. Saya percaya Afif juga mengalami perkara yang sama, dan itulah salah satu sebab beliau terjatuh. Namun begitu, tahniah kepada Afif kerana dinobatkan Juara Keseluruhan. Kami akan bersaing semula untuk gelaran itu pada musim hadapan. Untuk musim ini, sasaran saya adalah berada di kedudukan kedua keseluruhan. Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada pasukan yang menghasilkan motosikal yang menakjubkan. Keadaan dari hari pertama lagi sudah sangat baik, dan saya berusaha mengekalkan momentum untuk meraih kemenangan bagi pasukan. Alhamdulillah, saya berjaya memberikan kemenangan itu kepada pasukan hari ini.”

Afif menutup kedudukan lima terbaik di tempat keempat dengan 15’09.123s, membuktikan konsistensinya sepanjang musim, sekaligus meraih kejuaraan keseluruhan musim 2025.

Afif berkata, “Pada mulanya, saya telah mendengar bahawa peraturan akan berubah musim ini, di mana berat motosikal dan pelumba akan diseragamkan, dengan had keseluruhan 168kg. Saya rasa ini satu kelebihan bagi saya kerana saya antara pelumba yang paling berat dalam kategori CP150. Saya mengambil peluang ini untuk memberikan usaha lebih lagi musim ini. Alhamdulillah, walaupun persaingan sangat sengit daripada Kasma mahupun pelumba-pelumba lain, saya berjaya mengekalkan momentum sehingga mencapai matlamat saya iaitu gelaran Juara Keseluruhan. Semasa terjatuh tadi, saya hanya fokus untuk cepat-cepat meneruskan perlumbaan dan mengumpul sebanyak mungkin mata walaupun sudah jatuh. Minggu ini memang sangat mencabar bagi saya, tetapi saya berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan. Kini saya berasa lebih tenang untuk menghadapi baki dua pusingan yang akan datang. Saya hanya perlu mengekalkan momentum sehingga akhir musim tanpa sebarang tekanan.”

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (15’00.230s)
  2. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA ESTREMO YUZY RACING (15’01.350s)
  3. MD FAIZ ZEKRI SABRI – ATAS AHM MOTOR SPORTS (15’06.683s)
  4. AHMAD AFIF AMRAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (15’09.123s)
  5. NAZIRUL IZZAT MD BAHAUDDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (15’11.157s)