Perlumbaan CP125 Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) sekali lagi membara dengan aksi penuh debaran apabila Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING muncul sebagai pelumba terpantas pada penghujung perlumbaan selepas berjaya mengatasi saingan hebat daripada Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING dalam pertarungan lima pelumba di kelompok hadapan yang berlangsung hingga ke pusingan terakhir.
Syamil memulakan perlumbaan dengan garang apabila terus mengetuai kelompok hadapan sebaik lampu isyarat padam, namun mula diasak oleh Izam yang melepaskan diri ke depan pada penghujung pusingan pembukaan, sementara Idlan mengikuti rapat di kedudukan ketiga.
Pertarungan menjadi lebih hangat apabila rakan sepasukan Syamil, Md Farid Hakimi Farid Sezli yang memulakan saingan dari petak kesembilan melonjak secara agresif ke hadapan dan mencatat masa terpantas 1’23.982s pada pusingan ke-3 untuk masuk ke kedudukan ketiga. Lima pelumba dalam kelompok hadapan terus merebut kedudukan podium, dengan Izam dan Syamil saling bergilir-gilir mendahului manakala Farid, Arash Tsunami Kamarudin dari ATAS AHM MOTOR SPORTS dan Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM tidak pernah melepaskan peluang menunggu ruang di hadapan.
Pertarungan antara Izam dan Syamil semakin sengit memasuki pusingan ke-7, dengan kedudukan sentiasa bertukar di setiap sektor. Namun pengalaman dan strategi kemas Izam membuahkan hasil apabila pada pusingan terakhir, beliau berjaya mencari ruang di sektor untuk menyelinap ke hadapan sebelum membuka sedikit jurang dan mencatat masa penamat perlumbaan 10’50.980s, menjarakkan 0.250s di depan Syamil yang terpaksa akur di tempat kedua pada 10’51.230s.
Izam berkongsi, “Perlumbaan tadi memang sangat sengit. Kita dapat lihat hanya lima pelumba sahaja yang berada dalam kelompok hadapan berbanding kumpulan kedua. Saya cuba berfikir secara logik untuk menghadapi selekoh terakhir. Saya tahu saya ada sedikit kelebihan kelajuan di sektor terakhir, jadi saya gunakan ia sebaik mungkin dan tunggu sehingga pusingan terakhir. Alhamdulillah, strategi itu menjadi sekali lagi, sama seperti tahun lalu dan tahun ini juga. Ini rezeki untuk semua yang sentiasa menyokong saya.”
Idlan pula memastikan dirinya di atas podium di kedudukan ketiga, meletakkan Farid dan Arash masing-masing di tempat keempat dan kelima dalam satu penamat rapat yang memisahkan mereka kurang satu saat.
TOP 5 FASTEST – RACE
- Md Izam Ikmal Izamli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (10’50.980s)
- Md Syamil Amsyar Md Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (10’51.230s)
- Md Idlan Haqimi Raduan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (10’51.310s)
- Md Farid Hakimi Farid Sezli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (10’51.314s)
- Arash Tsunami Kamarudin – ATAS AHM MOTOR SPORTS (10’51.474s)