AKIF CURI TUMPUAN DI SEPANG

Perlumbaan Wira KBS di Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) menyaksikan kebangkitan dramatik pada penghujung perlumbaan apabila Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM muncul pemenang selepas menewaskan pendahulu awal perlumbaan, Farres Putra Md Fadhill dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, dalam perebutan sengit sehingga ke garisan penamat.

Farres yang memulakan dari petak utama selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan, meluru pantas ke hadapan sebaik lampu isyarat dipadamkan, diikuti rapat oleh Akif yang langsung tidak mahu melepaskan rentak kelompok depan. Sepanjang pusingan pembukaan, kedudukan sentiasa berpindah tangan antara Farres, Akif dan Shahzureen Que Absyar Md Khairulnizam dari DASHOIL BROTHERS 7 TECH RACING, manakala saingan sengit dalam kelompok utama turut menyaksikan rakan sepasukan Akif, Adi Putra Anahar serta Md Arfan Ashraf Md Mazlan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING terjatuh dalam perebutan kedudukan kelompok hadapan.

Dengan perlumbaan berlangsung dalam tempo tinggi, Farres terus mengekalkan momentum sehingga separuh perlumbaan, namun tekanan berterusan daripada Akif dan Que mula membuahkan hasil. Memasuki pusingan ke-7, Akif mengambil kesempatan untuk memintas Farres sekali gus mendahului perlumbaan buat kali pertama, sebelum melepaskan diri dalam situasi pecutan pusingan terakhir untuk menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 9’46.327s.

Akif berkata, “Saya cuba ikut Farres sambil mengukur kemampuan jentera saya berbanding motor Farres. Dari situ saya dapat tahu di mana kelebihan dan kekurangan motor saya. Pada dua pusingan terakhir, saya sedikit tertolak keluar dari garisan perlumbaan oleh Farres, tetapi saya cuba kembali rapat. Alhamdulillah, strategi saya menjadi di selekoh terakhir.”

Raiyan Khardanee Md Sanusi dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING menamatkan perlumbaan dengan bergaya di tempat kedua selepas bangkit dari belakang, sementara Farres yang mendominasi sebahagian besar perlumbaan terpaksa akur di tangga ketiga, namun masih mengumpul mata penting dalam misi memburu gelaran Wira KBS 2025. Md Ikram Dani dari WINBOX KM+ AXLA dan Md Akid Md Shah Khearul Nisiam dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING melengkapkan kedudukan Top 5, mengatasi pelumba-pelumba lain dalam pertarungan sengit sepanjang perlumbaan.

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (9’46.327s)
  2. Raiyan Khardanee Md Sanusi – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (9’46.382s)
  3. Farres Putra Md Fadhill – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (9’46.418s)
  4. Md Ikram Dani – WINBOX KM+ AXLA (9’46.454s)
  5. Md Akid Md Shah Khearul Nisiam – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (9’46.474s)