HAFIZA SEBAK, TERPANTAS KALI PERTAMA

Drama dua sesi kelayakan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix hari ini menyaksikan kebangkitan luar biasa daripada Md Hafiza Rofa, apabila pelumba TKKR RACING TEAM itu yang sekadar berada di kedudukan kelapan pada Kelayakan 1, bangkit melakukan catatan sepusingan terbaik dalam Kelayakan 2 untuk dinobatkan sebagai pelumba terpantas keseluruhan buat pertama kali dalam kategori CP150.

Berbekalkan semangat juang tinggi, Hafiza bersama pasukannya melakukan beberapa pelarasan pada jentera sebelum memecut cemerlang dalam Kelayakan 2, mencatatkan masa 1’15.567s, sekali gus mengetepikan Md Akid Aziz dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING yang menghuni kedudukan kedua keseluruhan dengan beza 0.063s menerusi catatan 1’15.630s. Rakan sepasukan Akid, Ahmad Afif Amran, pula muncul ketiga selepas mengekalkan rentak konsisten di kedua-dua sesi.

Hafiza berkata, “Saya tidak sangka akan mendapat tempat pertama. Ini kali pertama saya mencatat masa terpantas dalam CP150. Terima kasih kepada pasukan kerana banyak melakukan pelarasan. Sejak pagi tadi kami mencuba pelbagai tetapan secara ‘try and error’. Akhirnya usaha kami membuahkan hasil. Saya akan terus berusaha dan melakukan sehabis baik esok.”

Turut mencuri tumpuan ialah Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR serta Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dari HONDA ESTREMO YUZY RACING yang tidak jauh ketinggalan — isyarat jelas bahawa perebutan sebenar masih belum bermula. Dengan persoalan siapakah bakal meraih petak teratas, sesi Super Pole Ahad ini pasti menjanjikan aksi lebih mendebarkan.

TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION (COMBINED)

  1. Md Hafiza Rofa – TKKR RACING TEAM (1’15.567s)
  2. Md Akid Aziz – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (1’15.630s)
  3. Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (1’15.642s)
  4. Nazirul Izzat Md Bahauddin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (1’15.787s)
  5. Shahrol Syazras Shahrol Yuzy – HONDA ESTREMO YUZY RACING (1’15.798s)