Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan ke Litar Sepang PETRONAS Antarabangsa (Selatan) untuk pusingan ke-6 pada hujung minggu ini. Danial Syahmi dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor akan meneruskan perjuangannya untuk merebut kedudukan ketiga teratas bagi kategori CP150.
Penyertaan Danial di kategori CP150 pada musim ini telah menambahkan lagi persaingan kelompok utama lebih-lebih lagi dengan aksinya yang agak hebat. Sepanjang lima pusingan, pelumba dari Pulau Pinang ini telah menaiki podium sebanyak dua kali, di tempat kedua dan ketiga dan beliau kini menduduki tempat keempat secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 55 mata. Perbezaan mata tidak jauh dari pesaing terdekatnya, Akid yang menduduki tempat ketiga dengan kumpulan sebanyak 62 mata. Pencapaiannya setakat ini juga menunjukkan kelebihan Danial untuk menyesuaikan diri dengan cepat dalam memberikan saingan yang hebat.
Lebih kurang sepuluh tahun lalu, Danial telah bersaing di kategori Wira KBS sebelum meraih kedudukan kedua secara keseluruhan pada tahun 2018. Selepas itu, Danial telah melanjutkan persaingan di kejuaraan Asia Talent Cup dan CEV dalam kategori Moto3 dimana beliau telah berpeluang menimba pengalaman yang berlainan sebelum kembali ke kejuaraan nasional di kategori CP150. Bagi pusingan akan datang yang akan berlangsung di Litar Sepang, kelebihan Danial tidak dapat di pertikai lebih-lebih lagi dengan “mileage” yang telah dikumpul di litar tersebut. Persoalannya, mampukah Danial mengambil alih kedudukan Akid di carta keseluruhan di litar Sepang?
Menurut Danial, “Ini merupakan suatu pengalaman yang mencabar bagi saya kerana penyertaan saya di kategori CP150 juga bermaksud saya perlu bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman di kategori ini. Selain itu, format kejuaraan PETRONAS Cub Prix yang amat berbeza terutamanya dengan litar-litar teknikal berbanding dengan kejuaraan-kejuaraan lain juga menjadikan persaingan lebih sengit. Saya perlu cepat menyesuaikan diri dan belajar teknik-teknik berlumba yang paling berkesan supaya boleh bersaing secara kompetitif dengan pelumba-pelumba lain.”
“Berbaki 5 pusingan lagi, saya masih berpeluang untuk merebut tempat ketiga secara keseluruhan dan itulah matlamat saya buat masa kini. Dengan pasukan yang sentiasa mencari pelarasan yang terbaik untuk jentera, ia memberikan saya dan pasukan saya suatu keyakinan. Bagi saya, komunikasi dengan pasukan amatlah penting terutamanya dalam memberikan maklum balas mengenai jentera saya. Setakat ini, pengalaman saya telah memberikan saya kelebihan untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan. Selain itu, saya juga dapat mencari had jentera di setiap litar dengan senang. Ini suatu lagi kelebihan bagi saya. Perlumbaan di litar Sepang ibarat “home-race” saya sebab saya banyak “mileage” di situ dan juga amat mengenali taktik yang diperlukan terutamanya kelajuan di selekoh tertentu. Matlamat saya untuk musim ini adalah untuk mengenali semua litar dengan lebih baik dan untuk menamatkan 10-pusingan di tempat kelima teratas.”

