IZAM UNGGULI PENAMAT DRAMATIK

Perlumbaan CP125 di Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 menyaksikan Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING tampil pemenang selepas pertarungan dramatik di Stadium Mini Teluk Intan, Perak.

Dalam sesi “Shoot-Out” yang berlangsung pada sebelah pagi, Md Adib Arsyad Md Hisam dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mencatat masa terpantas 50.084s untuk meraih petak pertama. Arash Tsunami Kamarudin dari ATAS AHM MOTOR SPORTS bermula di petak kedua dengan 50.318s, sementara pelumba Izam bermula dari petak ketiga dengan catatan 50.352s.

Adib memulakan perlumbaan dengan baik, namun Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM pantas memimpin di selekoh pertama. Perlumbaan terus sengit dengan Arash mencatatkan masa terpantas 50.894s pada pusingan ke-4, memintas Idlan dan mendahului perlumbaan.

Namun, pusingan ke-10 menyaksikan Arash terjatuh, membuka peluang kepada Adib yang terus mengetuai perlumbaan bersama Izam dan Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING. Pada pusingan ke-13, Izam berjaya memintas Adib dan mempertahankan kedudukannya, walaupun Adib terus mengekori rapat.

Insiden mengejutkan berlaku pada pusingan terakhir apabila pelanggaran antara Syamil dan Khairi Asyraf Mahmood dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM menyebabkan kedua-dua pelumba terjatuh. Izam memanfaatkan peluang ini dan menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan masa 12’58.468s.

Adib menamatkan di tempat kedua dengan catatan masa 12’59.215s, manakala Khairi yang terjatuh di pusingan terakhir berjaya bangun dan melintasi garisan penamat di tempat ketiga dengan masa 13’03.586s.

Izam berkongsi, “Kami cuba pelbagai setup sejak sesi latihan 1 hingga kelayakan. Perlumbaan ini sangat mencabar, banyak pelumba semakin laju. Namun, tiada yang mustahil, saya terus berusaha untuk merebut podium. Pertarungan dengan Adib sangat sengit, saya cuba manfaatkan ruang yang ada dan menunggu peluang di selekoh terakhir. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan pasukan kerana memastikan jentera saya berfungsi dengan baik.”

TOP 5 FASTEST – FINAL RACE

  1. Md Izam Ikmal Izamli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (12’58.468s)
  2. Md Adib Arsyad Md Hisam – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (12’59.215s)
  3. Md Khairi Asyraf Mahmood – JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (13’03.586s)
  4. Md Syamil Amsyar Md Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (13’05.952s)
  5. Md Farish Iqmal Khayrul Elyas – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (13’06.061s)