APAKAH LANGKAH SETERUS AKIF?

Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di LYL International Karting Circuit buat kali pertama pada hujung minggu ini. Md Akif Abdullah dari pasukan ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM akan meneruskan usaha untuk mempertahankan kedudukan di kategori Wira KBS.

Kemahiran Akif di litar Sepang pada musim ini mungkin tidak begitu memuaskan seperti yang dilihat di pusingan pertama di mana beliau hanya mampu menamatkan perlumbaan di tangga kedua. Namun begitu, Akif telah membuktikan kebolehan untuk mengendali jenteranya di litar teknikal dan bukan sekadar menaiki podium tetapi dengan pencapaiannya untuk meraih kemenangan pertama yang sekaligus menempatkan beliau di tangga teratas.

Persaingan beliau dengan pesaing terdekat, Farres jelas ternyata sejak musim lepas di mana kedua-dua pelumba telah menunjukkan taring dalam misi memburu takhta kejuaraan. Walaupun Akif pada masa itu akur di tangga kedua secara keseluruhan, ia tidak bermaksud beliau kurang hebat berbanding dengan Farres dan ini terserlah dengan kebolehan beliau untuk meneruskan persaingannya dengan juara bertahan pada musim ini. Persoalannya, mampukah Akif mempertahankan kedudukannya di tangga teratas sepanjang musim 2025?

Menurut Akif, “Farres dan saya telah lama bersaing, sejak dari zaman kanak-kanak lain di peringkat “pocket bike” dan “MiniGP”. Bagi saya, semua pelumba ada kelebihan masing-masing termasuk Farres Cuma ketika ini, saya dapat melihat Farres mempunyai kelebihan dari segi “mileage” di atas jentera berbanding dengan saya. Lebih-lebih lagi dengan penglibatan beliau di kejuaraan ARRC. Namun begitu, bagi saya, setiap perlumbaan adalah unik dan saya sentiasa memberikan yang terbaik untuk bersaing secara kompetitif dengan Farres dan pelumba-pelumba lain.”

“Untuk pusingan 3, susah sedikit untuk berikan pendapat kerana saya dan pasukan tidak mempunyai pengalaman tetapi yang penting adalah pelarasan jentera yang bagus. Siapa yang dapat menyesuaikan diri dengan cepat mempunyai kelebihan. Seperti biasa, persediaan amat penting terutamanya dari segi kecergasan fizikal. Saya banyak melakukan kayuhan basikal dan “jogging” selain daripada latihan motosikal di UNIMAP, Perlis. Misi saya pada musim ini adalah untuk merampas takhta kejuaraan dari tangan Farres.”